Amran terharu dikunjungi rakan artis

Kesudian teman seperjuangan berkunjung ke Senawang, Negeri Sembilan, untuk menjenguk dirinya yang uzur akibat serangan angin ahmar membuatkan seniman serba boleh, Amran Tompel, terharu.

Amran atau nama sebenar, Amran Aman Ramlie, 70, yang sudah beberapa kali diserang angin ahmar dengan insiden terbaru, Mac lalu, tidak dapat menahan air mata setiap kali teman, sanak-saudara dan jiran tetangga bertandang.

Baru-baru ini, Amran yang pernah membintangi filem Keluarga 99, dikunjungi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid serta ahli lembaga pengarah dan beberapa pegawai sempena Program Ziarah Kasih FINAS.

Luah Amran kepada media, beliau berbesar hati dan terharu dengan kunjungan Zakaria dan ahli lembaga pengarah FINAS.

“Seronok dapat bertemu kawan-kawan lama. Terima kasih kepada FINAS kerana mengambil berat keadaan diri saya dan sudi menghulurkan sedikit sumbangan.

Amran sudah beberapa kali diserang angin ahmar dengan insiden terbaru pada Mac lalu. – Agensi

“Sedikit-sebanyak sumbangan itu dapat meringankan beban saya,” katanya.

Amran yang juga adik kepada pelakon dan pelawak lagenda, AR Badul, bersyukur sejak terlantar sakit, teman-teman menunjukkan keprihatinan mereka biarpun ketika negara dilanda penularan COVID-19.

“Paling saya tidak sangka dan amat terharu apabila menerima kunjungan Datuk Yusof Haslam dan Datuk Awie.

“Saya tidak sangka mereka sanggup datang sejauh ini untuk menziarah saya,” katanya yang tidak lagi mampu menggerakkan kaki dan tangan kirinya.

Amran yang menetap bersama anak lelakinya, Shafiq Arman, 26, turut dibantu bekas isteri, Anas Salmi, 52, untuk menguruskan dirinya.

Menurut Anas, setiap kali menerima kunjungan teman dan sanak-saudara, dia dapat melihat perubahan pada wajah Amran yang terharu dengan kehadiran mereka.

“Apabila ada kunjungan rakan-rakan, dia memang mudah sebak. Mungkin secara peribadi, sewaktu masih kuat, dia jarang mempunyai kesempatan untuk berjumpa rakan-rakan.

“Mungkin kerana dulu, abang Amran jarang dapat tawaran lakonan. Boleh dikatakan rezeki dia dalam bidang seni agak berat,” katanya.

Anas berkata, Amran sebak kerana masih ada pihak yang prihatin dengan dirinya biarpun sumbangan kepada dunia seni tidaklah banyak.

“Tetapi dia merasa sangat dihargai dan disayangi kerana ramai yang sudi datang dan menghulurkan bantuan.

“Sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak meringankan beban kami. Wang itu kami gunakan untuk membeli barangan keperluan seperti ubat-ubatan dan menjelaskan hutang abang Amran yang tertunggak,” katanya.

Dakwa Anas, bekas suaminya itu mempunyai hutang sewa rumah sebanyak RM30,000 yang tertunggak sebelum mereka berpisah lagi.

Pasangan itu berkahwin pada 1992 dan bercerai kira-kira tiga tahun lalu. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata termasuk Shafiq.

Anas berkata, tangan tangan dan kaki kiri Amran masih belum boleh bergerak, lemah longlai dan tiada tindak balas. – Agensi