AMRO: Ekonomi Brunei tetap positif di kala pandemik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Ekonomi Negara Brunei Darussalam harus pulih secara sederhana sebanyak 2.1 peratus pada 2021, setelah pertumbuhan yang perlahan tetapi masih positif pada 2020 di tengah-tengah kegawatan ekonomi global disebabkan pandemik COVID-19.

Dengan sokongan daripada pendapatan minyak yang lebih tinggi, mengetatkan semula langkah-langkah kawalan serta lanjutan langkah sokongan dapat membantu mengurangkan kesan ekonomi daripada gelombang terkini jangkitan COVID-19.

Pada masa yang sama, Negara Brunei Darussalam juga perlu mempercepatkan kepelbagaian ekonominya untuk mengukuhkan lagi kedayatahanan ekonominya. Dapatan itu dibuat dalam Laporan Konsultasi Tahunan bagi Negara Brunei Darussalam yang diterbitkan oleh Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), yang dikeluarkan, hari ini. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AMRO, di sini, laporan berkenaan dihasilkan berdasarkan Lawatan Konsultasi Tahunan Maya AMRO ke Negara Brunei Darussalam serta data dan maklumat yang diperoleh sehingga 10 September 2021.

Ekonomi Brunei telah berkembang pada kadar 1.1 peratus pada 2020 setelah meningkat sebanyak 3.9 peratus pada 2019. Kelembapan itu adalah disebabkan pengurangan dalam pengeluaran sektor minyak dan gas di mana telah diimbangi dengan lonjakan dalam aktiviti-aktiviti pembuatan hiliran.

Kemerosotan dalam sektor minyak dan gas pada 2020 mencerminkan kemerosotan dalam permintaan dan harga minyak global serta aktiviti-aktiviti pemulihan dalam penyelenggaraan bagi instalasi luar pesisir.

Di sebalik perkembangan dalam kepelbagaian ekonomi, ekonomi Brunei terus dikuasai oleh industri minyak dan gas.

Pada 2021, pertumbuhan sepatutnya pulih sederhana sebanyak 2.1 peratus, mencerminkan pemulihan dalam permintaan dan harga minyak global, jelas kenyataan daripada AMRO itu.

Memandang ke hadapan, imbangan fiskal dan kedudukan luaran Negara Brunei Darussalam menjadi bertambah baik secara ketara, mendapat manfaat daripada harga minyak global meningkat di tengah-tengah prospek ekonomi global yang lebih baik.Menyentuh mengenai risiko dan kelemahan, kenyataan menyatakan risiko utama kemerosotan yang dihadapi oleh ekonomi terus berkisar sekeliling sektor minyak dan gas.

Kebergantungan tinggi negara kepada sektor berkenaan menjadikannya amat terdedah kepada kejutan luaran dan domestik dalam sektor itu.

Risiko domestik termasuk gangguan dalam pengeluaran minyak dan gas dalam ladang matang dan daya maju komersial yang tidak menentu bagi penerokaan ladang baharu dalam persekitaran harga minyak yang rendah.

Sementara itu, faktor-faktor luaran, permintaan dan harga yang lebih lemah bagi minyak secara global juga akan mempunyai implikasi negatif ke atas pemandangan ekonomi.

Di sebalik perkembangan dalam kepelbagaian ekonomi, ekonomi terus dikuasai oleh industri minyak dan gas. Kenyataan menerangkan bahawa usaha meneruskan kepelbagaian dalam sektor-sektor lain akan membantu untuk meminimumkan risiko ekonomi dan meningkatkan daya tahan ekonomi.

Jika jangkitan tempatan COVID-19 berpanjangan, ia akan mempunyai kesan ekonomi yang besar terutamanya menerusi sekatan, sekatan pergerakan dan gangguan rantaian bekalan.

Langkah-langkah pengawalan juga akan mengurangkan permintaan dalam negara, meningkatkan kadar pengangguran serta mempunyai kesan buruk kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di mana faktor-faktor berkenaan membawa kepada masalah kewangan. Sokongan fiskal jangka pendek tambahan, jika diperlukan, harus fleksibel serta disasarkan kepada rumah tangga dan perniagaan yang paling terkesan oleh pandemik dan juga untuk meningkatkan pelaburan awam.

Pada masa yang sama, usaha untuk mengurangkan kebergantungan tinggi kepada hasil minyak dan gas harus terus diperkukuhkan serta meningkatkan kecekapan perbelanjaan.