KUALA LUMPUR, 4 OKT – Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (AMRO) mengunjurkan rantau ini akan mencatat pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus bagi 2023, susut daripada jangkaan 4.6 peratus pada Julai lepas yang didorong terutamanya oleh kelembapan suku kedua di China.
Kumpulan Asean+3 merangkumi 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau Asean serta China, Hong Kong, Jepun dan Korea Selatan.
Menerusi kemas kini suku tahunan laporan Prospek Ekonomi Serantau (AREO) ASEAN+3, AMRO turut menjangkakan rantau ini tumbuh sebanyak 4.5 peratus pada 2024 susulan impak langkah sokongan dasar China dalam merealisasikan usaha melonjakkan lagi permintaan domestik.
“Walaupun terdapat cabaran-cabaran yang menyelubungi prestasi ekonomi China, kita (sebaliknya) perlu melihat perkara-perkara itu dari segi perspektif.
“Melangkaui sektor hartanah misalnya, pelaburan dalam pembuatan juga semakin meningkat manakala perbelanjaan pengguna telah kembali ke landasan tepat. Faktor ini sepatutnya memberi kesan limpahan positif di seluruh rantau Asean+3,” kata Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Khor Hoe Ee.
Dalam pada itu, inflasi di rantau Asean+3, tidak termasuk Laos dan Myanmar, diunjur menyederhana kepada 2.6 peratus pada 2024 berbanding anggaran tahun ini sebanyak 2.9 peratus. – Bernama
