Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Amsyar Lee tolak tawaran berlakon

    Penyanyi yang namanya sedang meningkat naik, Amsyar Lee terpaksa melenyapkan keinginan untuk menjadi pelakon kerana bimbang akan mengganggu tumpuan dalam pelajaran.

    Amsyar, 23, memberitahu sebagai pendatang baharu, dirinya ingin fokus kepada satu bidang dalam satu masa terlebih dahulu.

    Kata pelajar jurusan Teater dan Produksi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, keputusan tersebut terpaksa dibuat kerana bimbang gagal memberi fokus antara pelajaran dan kerjaya.

    “Pernah sebelum ini saya menerima tawaran berlakon, namun menolaknya kerana terikat dengan komitmen masa. Ia merupakan drama episod yang memerlukan masa agak lama.

    “Disebabkan sekarang saya lebih selesa untuk fokus kepada pelajaran, jadi tawaran tersebut ditolak kerana takut jika melakukan semua perkara dalam satu masa membuatkan saya gagal memberikan hasil berkualiti,” jelasnya kepada wartawan.

    Meskipun menolak, Amsyar tidak berasa ralat atau kecewa melepaskan peluang untuk muncul di televisyen yang sememangnya menjadi impiannya.

    “Ya saya belajar teknik lakonan, tetapi ini bukan masanya lagi. Saya sedar ini peluang terbaik untuk lebih dikenali kerana penonton akan melihat saya setiap hari di televisyen.

    “Namun saya tidak kecewa kerana percaya kepada rezeki. Setiap daripada kita sudah ditentukan rezeki masing-masing. Sekiranya bukan sekarang, insya-Allah masa akan datang akan ada rezeki lain pula,” tambahnya lagi.

    Bercakap soal kerjaya, terbaharu Amsyar muncul bersama penyanyi Ezad Lazim menerusi nyanyian semula lagu Mengintai Dari Tirai Kamar. – Agensi

    Amsyar Lee lebih selesa memberi fokus kepada satu perkara dalam satu masa. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...