Pelakon dan pengacara, Amyra Rosli meluahkan rasa kesal apabila menjadi mangsa penipuan oleh syarikat hiasan dalaman yang ditugaskan untuk menghias rumah ibu bapanya.
Menurut Amyra, dia telah membuat bayaran sebanyak RM240,000 dan hampir setahun menanti. Walau bagaimanapun, hasilnya hampa, malah bangunan rumah ibu bapanya juga dikatakan semakin rosak disebabkan syarikat hiasan dalam berkenaan.
“Saya gunakan khidmat interior designer dari sebuah syarikat dan hampir setahun kami menunggu dan sabar dengan segala alasan daripada mereka, inilah hasil yang saya dapat. Semakin rosak bangunan rumah,” kongsi Amyra.
Kesal dan sedih dengan tindakan syarikat berkenaan, Amyra tampil bersikap positif dengan menyatakan mungkin terdapat hikmah di sebalik ujian yang melanda dirinya.
“Astaghfirullah hal’azim, berani betul mereka aniaya orang di dunia ini. Tidak mengapa, kita serahkan semua pada Allah, itu yang terbaik saya rasa.”
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang meminta Amyra mendedahkan identiti syarikat hiasan dalam berkenaan untuk mengelakkan lebih ramai lagi yang menjadi mangsa penipuan, malah ada yang mencadangkan agar pelakon ini mengambil tindakan undang-undang. – Agensi