ANA kurangkan unjuran keuntungan 71 peratus

TOKYO, 20 APRIL – Syarikat penerbangan Jepun ANA Holdings hari ini mengurangkan ramalan keuntungan bersih tahunannya sebanyak 71 peratus disebabkan kemerosotan mendadak dalam permintaan dan pembatalan berpunca daripada pandemik koronavirus.

Untuk tahun fiskal sehingga Mac 2020, firma itu berkata ia kini menjangka keuntungan bersih berjumlah 27 bilion yen, merosot daripada ramalan sebanyak 94 bilion yen sebelum ini.

Keuntungan operasi kini mencecah 60 bilion yen, berbanding dengan jangkaan awal sebanyak 140 bilion yen. Jualan kini diramalkan merosot kepada 1,970 bilion yen, berbanding dengan 2,090 bilion yen.

Syarikat itu dijadual mengeluarkan pendapatan tahun penuh pada akhir bulan ini.

Penurunan disebabkan ‘sekatan kemasukan di pelbagai negara dan pengurangan perjalanan domestik di Jepun disebabkan penularan koronavirus pada suku keempat,” kata syarikat, dengan permintaan perjalanan merosot terutamanya pada Mac.

Syarikat itu menjangka jualan kukuh tetapi kos yang lebih tinggi tatkala ia bersedia untuk mengembangkan perkhidmatan di rantau Tokyo sebelum Olimpik 2020.

Namun pandemik memaksa Sukan ditangguhkan selama setahun dan menjejas teruk sektor pelancongan Jepun, sementara banyak negara telah membatalkan atau mengehad perjalanan antarabangsa dan domestik.

Pengumuman dibuat sejurus selepas Bursa Saham Tokyo ditutup. Saham dalam ANA berakhir 0.47 peratus lebih tinggi pada 2,483 yen. – AFP

Syarikat penerbangan Jepun ANA Holdings hari ini mengurangkan ramalan keuntungan bersih tahunannya sebanyak 71 peratus disebabkan kemerosotan mendadak dalam permintaan dan pembatalan berpunca daripada pandemik COVID-19. – Agensi