Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    ‘Anak-anak sumber kekuatan’

    Oleh Nurdiyanah R.

    Gambar serahan Dayang Siti Norkarlina

    Demi memenuhi keperluan enam orang anaknya, penat dan lelah tidak dihiraukan, apa yang terlintas di fikirannya hanyalah mencari sumber pendapatan dalam meneruskan kelangsungan hidup dengan mengusahakan perniagaan kuih mor secara sepenuh masa.

    Kudrat ibu tunggal, Dayang Siti Norkarlina binti Abdullah dalam menyara anak-anak berusia dalam lingkungan antara 16 tahun dan setahun lebih tidak pernah berhenti untuk mengalah.

    Beliau yang menetap di Kampung Perpindahan Rimba Gadong kini kembali bangkit semula menjalankan perniagaan dari rumah atau home-based kecil-kecilan mengikut tempahan dalam talian berbekalkan kemahiran yang diperolehinya daripada bekas ibu mertua beliau suatu ketika dahulu.

    Anak-anak kekuatan diri

    Apabila mengimbas kembali, beliau berkongsi bahawa pada asalnya beliau mula menceburi bidang perniagaan ini khususnya dalam pembuatan kuih-muih sekitar tahun 2005 lagi namun pernah terhenti seketika disebabkan menanai tanggungjawab menjaga Allahyarhamah ibu beliau yang ketika itu mengalami lumpuh dan juga ibu saudara pada 10 tahun berikutnya.

    Manakala sekitar awal tahun ini, insan berusia 33 tahun ini tekad berjuang kembali melakar perjalanan sumber mata pencariannya dalam penjualan kuih mor klasik menerusi platform media sosial yang dikenali sebagai Kuih Kasih.

    Dayang Siti Norkarlina turut dibantu oleh dua orang anaknya dalam mengusahakan tempahan kuih mor klasik.

    “Anak-anak sumber kekuatan saya selama ini. Melihat mereka bagaikan pencetus semangat diri ini untuk terus bangkit berusaha menerokai bidang ini meskipun kadang kala rasa berputus asa itu terselit dalam fikiran. Namun segalanya mampu ditangkis demi memenuhi perbelanjaan harian dan juga keperluan sekolah,” luahnya tulus.

    Beliau yang saat ini memaklumkan tiada menerima sebarang bantuan bulanan daripada pihak-pihak yang berkepentingan menganggap ia belum lagi rezeki untuk mereka sekeluarga.

    Namun beliau yakin selagi mereka kekal berusaha dengan seikhlas hati pasti akan diberikan hikmah dan jalan keluar yang lebih baik.

    Rutin seawal pagi

    Dayang Siti Norkarlina yang pernah bekerja secara kontrak sebelumnya turut mengongsikan yang penjualan kuih mor itu mengikut jumlah tempahan yang diambil sehari sebelum kerana mudah untuknya membahagikan masa dan menghasilkan tempahan yang memuaskan hati pelanggan.

    Kebiasaannya beliau mula menjalankan proses pembuatan kuih dengan mengadun bahan-bahan seawal pagi selepas menunaikan sembahyang Fardu Subuh sehingga selesai sebelum diambil sendiri oleh para pelanggan ke rumah beliau.

    “Pastinya dengan situasi jangkitan pada masa ini, saya tetap menekankan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa seperti mengambil barang tempahan tanpa perlu berhubungan langsung atau terma yang lebih kerap digunakan contactless pick-up demi sama-sama melindungi,” ujarnya lagi.

    Berkongsi mengenai rutin beliau setiap hari, katanya, mereka kebiasaannya akan menghasilkan kuih mor dengan satu tin minyak sapi seberat 1,600 gram yang dapat memenuhi lebih 10 bekas bersaiz besar.

    “Alhamdulillah rezeki daripada penjualan kuih ini begitu memberangsangkan daripada orang ramai yang bukan hanya terdiri daripada penduduk setempat bahkan juga ada antara pelanggannya berasal dari daerah-daerah yang lain,” luahnya dengan nada kesyukuran.

    Mendidik anak lebih berdikari
    Sepanjang meniti bidang perniagaan ini, Dayang Siti Norkarlina berharap usaha itu bukan saja untuk memenuhi sumber mata pencarian semata-mata bahkan beliau dapat mendidik anak-anaknya agar sentiasa berdikari dalam mencapai keperluan hidup.

    “Saya bersyukur dengan pemahaman anak-anak di mana kebiasaannya, dua orang anak saya yang berusia 16 tahun dan 11 tahun sering membantu dalam menyelesaikan tempahan yang diterima setelah mereka menyiapkan tugasan dan sesi pembelajaran sekolah mereka masing-masing.

    “Manakala anak-anak yang ketiga dan keempat pula memainkan peranan membantu menjaga adik-adik mereka yang masih kecil,” ucapnya dengan penuh ketenangan.

    Ibu tunggal perlu terokai kemahiran

    Dalam kesempatan ini, Dayang Siti Norkarlina turut menasihatkan kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi ibu-ibu tunggal untuk terus berjuang dalam mencari pendapatan persendirian tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan-bantuan tertentu.

    “Terokai kemahiran dan bakat yang dimiliki dengan melakukan apa sahaja yang boleh dijadikan punca pendapatan sehari-hari. Jika bukan kita yang bangkit, siapa lagi yang akan memeduli anak-anak yang ditanggung selama ini,” tekannya lagi yang turut memiliki harapan untuk memiliki sebuah ruang khas bagi menjalankan pembuatan kuih di kediaman beliau agar lebih selesa dan teratur suatu hari nanti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...