Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 18 Sept – Bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidiladha, Syarikat Rennah Service Sdn Bhd telah menganjurkan Majlis Sambuatan Hari Raya Aidiladha bersama anak-anak yatim dan orang-orang kelainan upaya (OKU) yang berlangsung di Jalan Nibung Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut di sini.
Hadir pada majlis tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan OKU ialah Pengarah syarikat tersebut, Dayang Masenah binti Haji Mohamad dan Pengarah Bersama syarikat berkenaan, Alan Wong.
Turut hadir di majlis tersebut ialah ibu bapa kanak-kanak OKU dan ibu serta penjaga kepada anak-anak yatim serta penduduk yang tinggal di persekitaran kawasan acara itu diadakan.

Majlis berkenaan yang merupakan aktiviti tahunan syarikat itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti kuiz dan cabutan hadiah bertuah yang dihasratkan dapat menghiburkan serta menggembirakan anak-anak yatim dan OKU berkenaan.
Majlis tersebut merupakan salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), di mana ia diadakan bertujuan sebagai melambangkan tanda rasa kasih sayang kepada mereka agar tidak merasa tersisih daripada masyarakat lainnya, di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara syarikat, anak-anak yatim dan OKU serta masyarakat di daerah ini.