Anak-anak yatim terus terima sumbangan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Seramai 31 orang anak-anak yatim dan keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar Kampung Sungai Akar hari ini menerima sumbangan derma dalam Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim dan Orang yang Memerlukan di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar.

Sumbangan sebanyak $6,600 itu berjaya dikumpulkan hasil derma orang ramai dan diagihkan kepada anak-anak yatim dan keluarga yang memerlukan secara pandu lalu di perkarangan masjid dan disampaikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku penaung MRSB.

Yang Berhormat Dato juga menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima, Awang Jefri bin Abdullah yang merupakan seorang golongan asnaf mualaf dengan berkunjung ke kediaman penerima di kampung berkenaan.

Majlis anjuran bersama Muslimah dan takmir masjid tersebut merupakan aktiviti tahunan sempena bulan Ramadan yang mulia ini yang antara lain bertujuan untuk meringankan beban serta memenuhi perbelanjaan keperluan harian bagi anak-anak yatim dan orang-orang yang memerlukan.

Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menyampaikan sumbangan kepada salah sebuah keluarga pada majlis penyampaian melalui kaedah pandu lalu di perkarangan MRSB, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.