Vokalis kumpulan Kangen Band iaitu Andika Mahesa berang apabila anak lelakinya menjadi mangsa buli di sekolah.
Andika atau Mahesa Andika Setiawan, 38, mendedahkan anaknya iaitu Mahesa Mawla Bumi bukan sahaja dibuli rakannya tetapi dilemparkan dengan kata-kata kesat oleh salah seorang ibu bapa murid di sekolah tersebut.
Cerita Andika kejadian itu berlaku ketika hari sukan di sekolah anaknya dan dia tidak dapat menghadirkan diri kerana berada di luar kawasan.
“Saya tiada di Jakarta dan hanya dimaklumkan tentang anak saya dilemparkan dengan kata-kata kesat ketika hari sukan.
“Perkara itu membuatkan saya tak boleh terima kerana ia turut melibatkan golongan dewasa,” katanya.
Dalam pada itu, memetik kenyataan portal mStar, Andika berkata, sewaktu kejadian, Mawla ditemani neneknya sebelum dipanggil keluar daripada kelas dan dimaki hamun oleh seorang pelajar.
Susulan kejadian itu, Andika berkata, dia membuat laporan polis mengenai insiden yang menganggu emosi anaknya.
“Anak saya trauma dengan kejadian itu dan sebagai bapa sudah tentu saya tak boleh terima anak saya diperlakukan seperti itu.
“Bagi saya biar guru selesaikan jika timbul sebarang masalah dan bukannya kita sebagai orang tua yang mengamuk, marah dan maki hanum,” katanya. – Agensi
