Anak anjing ditemui mati dalam kapal terbang

KIEV, 24 JUN – Syarikat Penerbangan Antarabangsa Ukraine (UIA) berkata semalam ia telah melancarkan siasatan dan memecat seorang kakitangan kanan selepas 38 ekor anak anjing mati ditemui di salah sebuah kapal terbangnya.

“UIA telah membuka siasatannya sendiri di mana ketua pengangkutan akan digantung jawatannya,” kata kumpulan dalam satu kenyataan.

UIA, syarikat penerbangan utama Ukraine, berkata ia juga menggantung penghantaran semua haiwan dalam pesawat Boeing-767.

Kanada juga telah melancarkan siasatan apabila anak anjing bulldog Perancis ditemui mati dalam kapal terbang UIA di Toronto pada 13 Jun.

Kesemuanya terdapat 500 anak anjing dalam penerbangan itu.

Seekor bulldog Perancis yang masih hidup, jenis kacukan popular di Kanada, mengalami simptom termasuk kekurangan air, lemah dan muntah.

“Punca kematian haiwan berkenaan masih belum diketahui,” kata UIA semalam.

Pada keseluruhannya, penerbangan yang mendarat di Toronto mempunyai 550 anjing dan 89 kucing dalamnya. UIA mengetepikan sebarang masalah kekurangan udara dalam kargo. – AFP