Oleh HaniQ Raffael
AISKRIM bukanlah makanan asing bagi masyarakat kita di Negara Brunei Darussalam. Ianya merupakan makanan beku yang diperbuat daripada tenusu seperti krim, kemudian digabungkan dengan pelbagai perisa dan pemanis.
Hidangan ini sememangnya sinonim dengan detik-detik keceriaan dan kegembiraan oleh kerana sifatnya yang manis, dingin dan menyenangkan apabila ditelan.
Berpeluang mencuba sendiri aiskrim buatan pengusaha tempatan pasti memberi satu pengalaman yang menakjubkan. Malah, aiskrim yang dihasilkan juga tidak perlu diragui lagi kerana ia berstatus halal dalam industri pembuatan aiskrim dan juga dalam pasaran.
Kemunculan aiskrim KynaPopSicle pasti menjadi dambaan bagi penggemar setia aiskrim dan ia semestinya boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana jua anda berada.
Secara ringkasnya, aiskrim KynaPopSicle adalah hasil produk bumiputera yang dihasilkan sendiri oleh pengasasnya iaitu seorang anak tempatan, Haji Muhammad Khairul Yadiy bin Haji Damit, 28 tahun, dan isterinya Dayangku Siti Nur Amalina binti Pengiran Junaidi, 27 tahun.


Awal kewujudan KynaPopSicle
Menurut Haji Muhammad Khairul Yadiy, semua ini bermula apabila beliau dan isterinya menghabiskan masa berbulan madu di Melbourne, Australia di mana saat berjalan-jalan, mereka terjumpa salah sebuah kedai yang menjual aiskrim tangkai. Kebetulan pada masa itu musim panas, jadi keinginan untuk makan dan mencuba aiskrim tangkai begitu membuak-buak.
“Ternyata aiskrim yang dibeli itu begitu sedap, tambahan pula si penjual aiskrim tersebut begitu ramah orangnya, kami pun langsung bertanya mengapa aiskrim berjemana lain tidak dijual di situ. Lalu beliau menjelaskan bahawa pihak kerajaan di Melbourne lebih menitik beratkan untuk mempromosikan produk tempatan mereka, oleh kerana itu begitu sukar untuk melihat jenama-jenama lainnya,” ujar Haji Muhammad Khairul Yadiy.
Bermula dari sinilah, beliau dan isterinya meletak impian untuk mencuba membuka usaha menjual aiskrim tangkai buatan sendiri di negara ini.
Jelasnya lagi, walaupun tidak mempunyai pengalaman di dalam menghasilkan aiskrim, namun atas minat yang mendalam dan meminati aiskrim tersebut, suami isteri ini mula mencuba dalam menghasilkan perisa aiskrim tangkai buatan sendiri.
Tambahnya lagi, aiskrim yang dihasilkan oleh KynaPopSicle ini diilhamkan daripada hasil pengalaman mereka ketika berada di luar negera.
“Dengan berbekalkan pengalaman merasa aiskrim-aiskrim semasa berada di luar negara, saya dan isteri pun mulalah mencuba membuat aiskrim tangkai sendiri dan diberikan kepada keluarga terdekat untuk mencubanya. Hasil feedback yang diberikan oleh mereka amat menggalakkan, bahkan mereka sendiri minat dengan aiskrim yang kami hasilkan. Ini telah menjadi pendorong buat kami dan mencuba untuk menjualnya kepada orang ramai,” ujarnya.
Sambutan menggalakkan
Beliau seterusnya berkata bahawa beliau amat gembira apabila aiskrim yang dihasilkan mula mendapat tempat di hati orang ramai khususnya para peminat aiskrim.
“Aiskrim yang kami hasilkan amat berbeza dengan aiskrim yang dijual di pasaran kerana ia diadunkan begitu istimewa, dan ianya diilhamkan daripada menu-menu semasa berada di luar negara, kemudian dicantumkan dengan idea kami sendiri
“Terdapat beberapa perisa aiskrim tangkai dihasilkan oleh kami (KynaPopSicle) iaitu Nutella, kelapa, mangga, buah naga, tembikai, ‘Rose’ berperisa ‘Sea Salt’ – di mana ianya mempunyai dua rasa iaitu manis dan masin, dan ini adalah salah satu aiskrim yang unik di sini dan lain-lain lagi, yang pastinya akan membuat penggemar aiskrim menyukainya,” jelas beliau lagi.
“Saya dapati kebanyakan penggemar aiskrim sukakan aiskrim berperisa buah-buahan. Sementara kanak-kanak pula suka kepada aiskrim yang bersifat warna-warni dengan rasanya yang berbeza. Jadi tidak mustahil aiskrim ini antara pilihan ideal,” katanya.
Aiskrim luar negara inspirasi KynaPopSicle
Jelasnya lagi aiskrim-aiskrim yang dihasilkan kesemuanya hasil inspirasi dari negara-negara luar misalnya aiskrim ‘Sea Salt’ di mana ianya berasal dari Jepun. Apabila warga di negara ini mencubanya, mereka merasa teruja dengan keunikan rasa aiskrim tersebut dan ini secara tidak langsung membolehkan mereka merasa aiskrim seperti mereka berada di Jepun.
Bahkan ujarnya ada sesetengah pelanggan mereka yang mencuba aiskrim KynaPopSicle merasa terkejut kerana rasa aiskrim yang dihasilkan oleh mereka ini setanding dengan aiskrim yang pernah mereka rasa ketika berada di luar negara.

“Aiskrim yang mula-mula sekali diilhamkan oleh kami ialah ‘Nuts about Tella (Nuttella)’, kelapa, mangga dan juga teh hijau Thailand dan buat pertama kalinya memperkenalkan empat perisa aiskrim KynaPopSicle dengan menyertai Bandar Ku Ceria pada bulan Januari lalu dan ternyata aiskrim yang kami perkenalkan ini mendapat sambutan. Dari sini kami mengetahui aiskrim berperisa apa yang paling digemari oleh pelanggan dan peminat aiskrim,” tambahnya.
“Melihat kepada kemampuan kami, penghasilan aiskrim tersebut membuat keluarga kami seakan tidak mempercayainya,’ kerana apabila melihat daripada latarbelakang kami suami isteri memang langsung tidak mempunyai bidang kelulusan bahagian masakan, tapi keberhasilan rasa daripada aiskrim yang kami sajikan memberikan satu cetusan ilham untuk kami mencuba dan memperkenalkan aiskrim tempatan buatan kami ini kepada orang luar setelah ianya mendapat sambutan yang tak diduga daripada keluarga dan rakan-rakan. Dari sinilah mulanya perjalanan kami di dalam penghasilan aiskrim dengan modal kami sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak kewangan tertentu.” jelasnya.
Konsep KynaPopSicle
Beliau seterusnya berkata konsep KynaPopSicle lebih kepada ala-ala kampung iaitu dengan berimejkan penjualan aiskrim berbasikal kerana jika diimbas kembali pada zaman dahulu, penjual aiskrim akan menggunakan basikal mereka untuk berjaja dan inilah yang diilhamkan kembali oleh KynaPopSicle.
“Inilah juga yang kami tunjukkan semasa berjual di BandarKu Ceria dengan berbasikal keliling Bandar Seri Begawan sambil menjaja aiskrim-aiskrim buatan kami, dan ini secara tidak langsung menarik perhatian para pengunjung dan orang ramai di BandarKu Ceria yang ingin mencuba aiskrim kami,” jelas beliau.
Bahan-bahan pembuatan
Menurut Haji Muhammad Khairul Yadiy, bahan-bahan untuk pembuatan aiskrim boleh didapati daripada gedung-gedung perniagaan yang ada di negara ini. Manakala buah-buahan seperti mangga pula dibeli daripada penduduk kampung setempat, sekaligus membantu dan mempromosikan buah-buahan tempatan.
Dalam pembuatan aiskrim ini pula ujarnya, seperti aiskrim berperisa buah-buahan ianya memang mengambil masa yang lama kerana KynaPopSicle lebih mementingkan kualiti rasa kerana itu yang penting, lagipun pembuatan aiskrim yang dihasilkan ini tidak menggunakan mesin tetapi ia dihasilkan dengan cara tradisional.
Kenangan manis KynaPopSicle
Salah satu kenangan manis beliau adalah apabila mula memperkenalkan aiskrim KynaPopSicle buat pertama kali di BandarKu Ceria, kemudian menyertai jualan di Jerudong Park yang juga turut mendapat sambutan yang menggalakkan. Seterusnya menyertai ekspo baru-baru ini di BRIDEX, dalam masa yang sama berjaja di Pasar Pelbagai Barangan Gadong sehingga kini.
Perancangan di masa depan
“Dalam masa dua tahun ke hadapan, kami ingin untuk mendapatkan kedai kekal aiskrim KynaPopSicle di kesemua daerah dan misi untuk memperkenalkan produk tempatan kitani iaitu aiskrim tempatan yang setaraf dengan aiskrim-aiskrim berjenama luar negara.
Kalau negara luar boleh memperkenal dan mempopularkan aiskrim mereka sehingga dapat menembusi pasaran luar dengan promosi yang kuat, kenapa pula kita anak tempatan sebagai rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sendiri tidak terfikir untuk berbuat demikian, sekaligus membantu ekonomi negara kita di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah Baginda untuk mengalakkan rakyat Baginda dalam menghasilkan produk sendiri yang berkualiti,”
“Lambakan jenama aiskrim di pasaran tempatan kini memberikan pengguna pelbagai pilihan untuk memenuhi selera mereka jadi kenapa kesempatan yang ada ini tidak kita gunakan dalam mempromosikan aiskrim Brunei kitani, apatah lagi jika ianya mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak-pihak berwajib dalam mempromosikan produk tempatan kita yang berkualiti.” ujar Haji Muhammad Khairul Yadiy.