Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Seorang pemilik kolam ikan berjaya me-merangkap seorang anak buaya yang sering memasuki kolam ikan miliknya untuk mencari makan di Kampung Buda-Buda, Jalan Bokok, Daerah Temburong, pada 19 Mac lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Pe-nyelamat (JBP), Cawangan Operasi G, Daerah Temburong, di sini, panggilan mengenai kejadian berkenaan diterima pada pukul 9 malam dan jentera bomba LP15 dan MPV20 bersama enam orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Ahli Bomba Kelas Satu No 335 Roslan bin Moksin dari Balai Bomba Rataie dikejarkan ke tempat kejadian.
Kenyataan menjelaskan bahawa apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat mendapati seekor anak buaya yang berukuran lebih kurang 3 meter telah masuk ke dalam perangkap kerana reptilia berkenaan sering memasuki kolam ikan milik si pemanggil dan mencari makan di kolam itu.
Anggota bomba dan penyelamat bertindak mengambil anak buaya berkenaan dan membawanya balik ke balai untuk diserahkan kepada Bahagian Hidupan Liar.
JBP menyeru orang ramai supaya melaporkan kepada jabatan berkenaan jika ternampak binatang liar seumpamanya berkeliaran di kawasan rumah.
Kenyataan turut menyatakan supaya jangan sesekali menghampiri atau berhasrat untuk mengancam binatang berkenaan bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hendaklah berhubung terus kepada Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
