Anak buaya terancam ditemui di Kemboja

PHNOM PENH, 21 SEPT – Lapan anak buaya yang baru menetas daripada spesies paling jarang ditemui di dunia, ditemui di taman perlindungan hidupan liar di timur Kemboja, meningkatkan harapan bagi spesies itu terus membiak dan hidup di hutan liar.

Penyokong pemuliharaan menemui anak buaya Siamese awal bulan ini di sebatang sungai di Taman Hidupan Liar Srepok, Kementerian Alam Sekitar dan Tabung Hidupan Liar (WWF) mengatakan hari ini.

Pasukan itu menemui anak reptilia itu selepas meluangkan masa empat hari menerokai tapak habitat yang mana beberapa bulan lalu mereka menemui kesan tapak kaki dan tahi haiwan itu. Spesies itu dahulunya pernah ditemui di merata tempat di seluruh Asia Tenggara namun sekarang disenaraikan sebagai spesies terancam oleh International Union for Conservation of Nature. Semuanya lenyap dalam awal 1990an kerana beberapa faktor termasuklah pemburuan haram, pemusnahan habitat dan pembiakan silang dengan spesies buaya lainnya.

Kerajaan dan WWF bersama mencari bukti bergambar populasi pembiakan di Taman Perlindungan Hidupan Liar Srepok, namun tidak berjaya selama lebih sedekad, kata organisasi hidupan liar itu dalam satu kenyataan. – AFP

Gambar serahan Kementerian Alam Sekitar Kemboja dan WWF menunjukkan buaya terancam Siamese berenang di Taman Perlindungan Hidupan Liar Srepok di Kemboja. – AP