Anak damit antara 4 mati ditembak

WASHINGTON, 6 SEPT – Empat mangsa terbunuh, termasuk seorang anak damit sedang didukung ibunya, dalam serangan tembakan di Florida oleh seorang bekas penembak tepat dalam pasukan tentera Amerika Syarikat (AS).

Suspek dikenali sebagai Bryan Riley, 33, menembak mati seorang lelaki berumur 40 tahun; wanita berusia 33 tahun bersama anak damit lelakinya berumur tiga bulan; serta nenek anak damit itu yang berusia 62 tahun.

Pegawai polis, Sherif Grady Judd, berkata insiden berlaku di kawasan kediaman di Polk County, Florida.

Beliau berkata Riley yang memakai perisai badan penuh, turut mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, katanya, suspek menyerah diri kepada polis selepas pertempuran berbalas tembakan yang mencemaskan.

Gambar serahan Pejabat Sherif Polk County menunjukkan belakang sebuah rumah di mana anggota polis Polk memasuki rumah dan berbalas tembakan dengan suspek di Lakeland, Florida. – AP

Suspek yang turut mengalami kecederaan kemudian dikejarkan ke sebuah hospital di mana dia didakwa sekali lagi cuba menyerang anggota polis sehingga terpaksa diberikan ubat penenang.

Selepas menerima rawatan, suspek dipindahkan ke sebuah penjara tempatan.

Riley yang juga seorang tentera veteran perang di Iraq dan Afghanistan, memberitahu polis bahawa dirinya adalah seorang ‘survivalist’ dan mengambil dadah methamphetamine.

“Suspek juga berkata kepada polis: ‘Anda tahu kenapa saya melakukan ini’,” kata Judd dalam satu kenyataan dalam media sosial.

Setakat ini, beliau berkata motif serangan belum dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan. – AFP