Anak damit antara korban serangan di Semenanjung Gaza

BAITULMAQDIS, 9 Ogos – Seorang anak damit dan ibunya yang hamil antara tiga penduduk Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di Gaza malam kelmarin, kata pihak berkuasa ketika negara Yahudi itu bertindak balas terhadap roket yang dilepaskan ke wilayahnya.

Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, Enas Khammash, 23 dan anak perempuannya, Bayan berusia 18 bulan, maut dalam serangan udara di Jafarawi di tengah Gaza, manakala suaminya cedera. Kementerian berkata, Enas sedang hamil.

Tentera Zionis tidak mengulas insiden itu namun mengaku melakukan serangan ‘100 sasaran tentera’ milik Hamas di wilayah terkepung itu.

“Serangan Israel dilakukan sebagai tindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke arah wilayah Israel waktu petang dan malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sasaran itu termasuk kemudahan pengeluaran, kompleks latihan dan tapak senjata yang didakwa merupakan milik Hamas.

Salah seorang ahli keluarga Enas Khammash ketika memeriksa rumah mereka yang rosak di Deir Al-Balah, Semenanjung Gaza, kelmarin. – AFP

Asap menjulang tinggi dapat dilihat dari Bandar Gaza malam semalam. Seorang pejuang Hamas terbunuh dalam serangan itu dengan sekurang-kurangnya 12 lain cedera, kata kementerian di Gaza.

Sistem pertahanan peluru berpandu Israel, Iron Dome memintas 11 daripada kira-kira 70 roket, kata tentera Zionis, sementara yang lain mendarat di kawasan terbuka.

Hamas yang berjuang tiga perang dengan Israel sejak 2008 memberi amaran, ia akan membalas dendam terhadap serangan itu.

Kemuncak serangan berlaku selepas kepimpinan Hamas berkumpul untuk mesyuarat luar biasa di Gaza Jumaat lalu. Pertemuan itu meningkatkan harapan perjanjian damai berkekalan dengan Israel, disokong Mesir dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pertembungan di sepanjang sempadan Gaza sejak akhir Mac lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 165 penduduk Palestin maut ditembak Israel. – AFP