KUCHING, 9 JAN – Polis menahan tiga wanita terdiri daripada pemilik taman asuhan kanak-kanak di bandar raya Kuching dan dua penjaga premis itu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang anak damit yang cedera dipercayai digigit.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Mohd Irwan Hafiz berkata ketiga-tiganya kini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas penahanan dilakukan pada 7 malam tadi.
“Tangkapan dibuat susulan polis menerima laporan daripada ibu anak damit terbabit pada 9:30 malam Selasa (7 Januari),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan ibu mangsa, anak damit berusia lapan bulan itu didapati mempunyai bekas gigitan pada bahagian belakang badan. – Bernama