Anak damit dari rahim penderma dilahirkan sihat

PARIS, 5 Dis – Dalam sejarah pertama perubatan, seorang ibu yang menerima pemindahan rahim dari penderma yang telah meninggal dunia telah melahirkan anak damit yang sihat, lapor para penyelidik hari ini.

Pembedahan berjaya itu, yang dijalankan pada September 2016 di Sao Paulo, Brazil menunjukkan bahawa pemindahan seumpama itu boleh dilaksanakan dan boleh membantu beribu-ribu wanita yang tidak dapat melahirkan anak disebabkan masalah rahim, menurut satu kajian yang disiarkan dalam The Lancet.

Anak damit perempuan telah dilahirkan pada Disember 2017, tambah jurnal perubatan itu.

Sehingga baru-baru ini, satu-satunya pilihan yang ada bagi para wanita yang mengalami ketidaksuburan rahim adalah mengambil anak angkat atau perkhidmatan ibu tumpang.

Kejayaan pertama melahirkan anak dari pemindahan rahim dari penderma yang masih hidup adalah pada tahun 2014 di Sweden dan sejak itu terdapat 10 lagi mencuba kaedah tersebut. Namun semakin ramai wanita yang memerlukan pemindahan dari penderma yang masih hidup, justeru itu para doktor berhasrat mengetahui jika prosedur itu boleh berkesan dengan menggunakan rahim wanita yang telah meninggal dunia.

Gambar fail pada 15 Disember 2017 menunjukkan anak damit perempuan yang dilahirkan dari rahim penderma yang meninggal dunia di Hospital das Clinicas dari Universiti Sao Paulo School of Medicine, Sao Paulo, Brazil. Setelah hampir setahun berlalu, ibu dan anak damit tersebut masih dalam keadaan sihat. – AP

Sebanyak 10 percubaan telah dilakukan iaitu di Amerika Syarikat, Republik Czech dan Turki, sebelum kejayaan itu dilaporkan hari ini.

Ketidaksuburan telah dialami oleh 10 hingga 15 peratus pasangan suami isteri.

Dari kumpulan ini, seorang dalam 500 orang wanita mengalami masalah rahim, antaranya disebabkan oleh kecacatan bentuk, histerektomi atau jangkitan yang menghalang mereka daripada mengandung sampai melahirkan.

“Hasil yang kami dapati adalah bukti konsep bagi pilihan baharu bagi para wanita yang mengalami ketidaksuburan rahim,” kata Dani Ejzenberg, seorang doktor di hospital pengajaran Universiti Sao Paulo. Dia menyifatkan prosedur itu sebagai ‘peristiwa penting perubatan.’

“Bilangan mereka yang bersedia dan komited untuk mendermakan organ apabila mereka meninggal dunia adalah jauh lebih ramai dari penderma yang masih hidup, yang memberikan potensi penduduk penderma lebih luas,” ujarnya dalam satu kenyataan. – AFP