JAKARTA, 7 Jan – Polis Indonesia menahan seorang suspek yang dipercayai ibu kepada anak damit yang baru dilahirkan yang ditemui meninggal dunia di sebuah tandas kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta.
Hani, 37, seorang pekerja migrasi dari Cianjur di Jawa Barat ditahan segera selepas ketibaannya dari Bangkok di lapangan terbang Soekarno-Hatta pada kira-kira jam 1:00 pagi, menurut ketua polis lapangan terbang Ahmad Yusef.
“Dia kelihatan tidak sihat dan tidak akan disoal sehingga sihat. Wanita itu sekarang berada di pusat kesihatan lapangan terbang,” beritahu Yusef kepada AFP.
Polis mengesyaki Hani, yang bekerja sebagai pembantu rumah di Abu Dhabi selama empat tahun, secara sembunyi melahirkan anak tersebut ketika dalam penerbangan Etihad dari sana menuju ke Jakarta semalam.
Kira-kira empat jam selepas penerbangan, dia mula mengalami pendarahan dan memaksa kapten kapal terbang untuk menukar haluan ke Bangkok.
“Wanita itu berada di kelas ekonomi, kemudian berpindah ke kelas perniagaan dengan bantuan oksigen. Kapten kemudian memaklumkan yang kami perlu menukar haluan ke Bangkok,” beritahu anak kapal Francesco Calore kepada AFP.
Sepasukan perubatan telah menaiki kapal terbang berkenaan untuk memindahkan Hani selepas pesawat Airbus A330 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok, tambahnya.
Pesawat itu meneruskan penerbangannya ke Jakarta pada kira-kira sejam kemudian tanpa wanita berkenaan, yang terbang kemudian dengan pesawat seterusnya.
Pembersih di Jakarta menemukan anak damit yang telah meninggal dunia dibungkus dengan beg plastik dalam laci di salah sebuah tandas kapal terbang, beritahu Yusef dengan menambahkan punca kematian belum diketahui. – AFP