Thursday, October 6, 2022
24.9 C
Brunei

Anak damit ‘diupah bekerja’ di rumah penjagaan

-

TOKYO, 30 OGOS – Sebuah pusat penjagaan di selatan Jepun telah ‘mengupah anak damit bagi tugasan yang sangat penting iaitu untuk menemani golongan emas dan untuk membuatkan mereka tersenyum.

‘Gaji’ yang diberikan kepada anak damit adalah berupa lampin dan susu fomula.

Anak damit yang diambil ‘bekerja’ di kemudahan di Kitakyushu itu mesti berusia empat tahun ke bawah, dan penjaga mereka mesti menandatangani kontrak yang menetapkan bahawa anak mereka boleh ‘hadir bekerja bila-bila masa yang mereka inginkan’.

Mereka juga dibenarkan untuk mengambil rehat ‘apabila mereka merasa lapar, mengantuk atau tertakluk kepada ‘mood’ mereka,” menurut kontrak tersebut.

Lebih daripada 30 anak damit telah mendaftar setakat ini, yang ditugaskan untuk menceriakan lebih 100 orang penghuni yang kebanyakan mereka berusia lingkungan 80an, kata Kimie Gondo, ketua rumah penjagaan.

“Kehadiran anak-anak damit membuatkan penghuni di sini tersenyum,” katanya kepada AFP, menambah bahawa anak damit ‘tidak terikat pada jadual bekerja’.

Iklan kerja kosong ditampal di dinding kemudahan itu yang menyatakan “Kami sedang mencari pekerja!” dengan tulisan besar dan memaklumkan bahawa pekerja akan dibayar berupa lampin dan susu tepung.

Tanggungjawab calon yang berjaya ialah ‘bersiar-siar’ di sekitar rumah penjagaan sementara ditemani oleh penjaga mereka, menurut iklan tersebut.

“Anak-anak damit tersebut akan sentiasa bersama ibu mereka sepanjang masa. Ia seperti membawa mereka bersiar-siar di taman,” kata Gondo.

Penghuni rumah penjagaan itu kelihatan gembira dengan ‘pekerja muda’ dan ceria menyapa mereka, berbual dan memberikan pelukan.

“Mereka sangat comel. Ia mengingatkan saya ketika saya menjaga anak dahulu,” kata seorang penghuni memberitahu stesen televisyen tempatan. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hasrat rai majlis kahwin tak kesampaian

NEW DELHI, 5 OKT - Hasrat 25 individu yang ingin meraikan majlis perkahwinan tidak kesampaian apabila mereka maut selepas bas yang dinaiki terbabas sebelum...
- Advertisment -