Anak damit kembar gagal diselamatkan

SANAA, 10 Feb – Anak damit kembar Yaman, yang situasinya telah mencetuskan rayuan bagi rawatan perubatan kecemasan di luar negara telah meninggal dunia di Sanaa lewat semalam, menurut pemberontak di ibu negeri yang dikepung itu.

Abdelkhaleq dan Abdelrahim telah dilahirkan di luar Sanaa kira-kira dua minggu lalu dan berkongsi buah pinggang dan sepasang kaki tetapi mempunyai hati dan paru-paru yang berasingan.

Ketua bagi pediatrik di hospital Al-Thawra, Sanaa, Dr Faisal al-Babili, berkata jabatannya berdepan kekurangan kemudahan untuk merawat atau memisahkan anak damit kembar itu serta meminta bantuan dari luar negeri Rabu lalu.

Pemberontak Huthi, yang bertempur dengan kerajaan sokongan Saudi sejak 2014, menyalahkan gabungan tentera pimpinan Riyadh atas kematian itu setelah ‘menolak untuk membuka lapangan terbang Sanaa bagi membolehkan anak damit itu mendapat rawatan’, menurut kenyataan media pihak pemberontak semalam. – AFP