Anak damit kembar sedia dipisahkan

RIYADH, 8 Feb – Pasukan perubatan Arab Saudi telah menawarkan untuk merawat anak damit kembar Yaman berikutan permintaan daripada doktor di ibu kota tersebut bagi menjalankan rawatan pakar untuk anak damit berkenaan di luar negara.

Abdelkhaleq dan Abdelrahim dilahirkan di luar Sanaa sekitar 10 hari yang lalu dan berkongsi buah pinggang dan sepasang kaki tetapi mempunyai hati dan paru-paru yang berasingan.

Ketua pediatrik di hospital Al-Thawra Sanaa, Dr Faisal al-Babili, mengatakan jabatannya tidak memiliki kemudahan untuk merawat atau memisahkan anak damit yang baru dilahirkan itu dan meminta bantuan dari luar negeri pada Rabu lalu.

Ketua Pusat Kecemasan dan Perubatan Raja Salman, Arab Saudi, Abdullah al-Rabeeah pada Rabu lalu berkata beliau mempunyai pasukan yang bersedia menangani perubatan anak damit berkenaan.

Beliau berkata penelitian sedang dibuat untuk membawa Abdelkhaleq dan Abdelrahim dari Sanaa ke kerajaan itu ‘secepat mungkin’, agensi berita Arab Saudi melaporkan.

Anak damit kembar yang dilahirkan sekitar 10 hari yang lalu dilihat berada di dalam inkubator di sebuah hospital berhampiran ibu kota Yaman di Sanaa pada 6 Februari lalu. – AFP

Rabeeah berkata pasukan itu akan mengkaji kemungkinan untuk memisahkan kedua-dua anak damit kembar berkenaan.

Kawasan pemberontakan Yaman telah dikepung oleh gabungan ketenteraan yang diketuai oleh Saudi sejak ia campur tangan pada Mac 2015.

Perkhidmatan kesihatan telah terjejas kerana konflik dan kebanyakan hospital tidak dilengkapi dengan kemudahan rawatan perubatan.

Membawa pesakit keluar untuk rawatan menimbulkan cabaran logistik yang besar.

Huthi mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk ‘membuka semula lapangan terbang kepada pesakit dan kes kemanusiaan segera’, media pemberontak melaporkan kelmarin.

Kerajaan menuduh pemberontak menyeludup senjata melalui lapangan terbang dan Hodeida, bandar pelabuhan yang penting bagi penyampaian bantuan kemanusiaan. Gabungan yang dipimpin oleh Saudi telah mengehadkan penerbangan ke dan dari Sanaa dan penghantaran melalui Hodeida. – AFP