Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak damit maut disyaki didera rakan lelaki ibu

    KUALA TERENGGANU, 9 NOV – Seorang anak damit lelaki berusia setahun lima bulan maut dipercayai didera rakan lelaki ibunya dalam kejadian di sekitar daerah Besut, dekat Kuala Terengganu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata siasatan awal mendapati anak damit berkenaan telah diserahkan ibunya yang berusia 27 tahun kepada suspek pada hari Selasa lepas untuk dijaga pada kira-kira 4 petang.

    “Mangsa kemudian dihantar semula kepada ibunya pada 7:30 pagi semalam bagaimanapun dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mempunyai kesan lebam di beberapa anggota badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abdul Rozal berkata anak damit tersebut telah disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kampung Raja, Besut dan hasil bedah siasat awal di Hospital Sultanah Nur Zahirah mendapati terdapat kebocoran pada usus kecil mangsa yang dipercayai menyebabkan kematian anak damit malang itu.

    Bagaimanapun, beliau berkata punca kebocoran itu masih belum dikenal pasti sama ada ia disebabkan oleh trauma atau jangkitan kuman dan sampel telah dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan.

    “Sehubungan itu, polis telah menahan ibu mangsa yang merupakan ibu tunggal bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan akan direman hari ini. Polis kini sedang memburu suspek lelaki berkenaan yang masih bebas,” katanya. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda