Anak damit Muharam dirai

Oleh Yusrin Junaidi, Nurdiyanah R. & Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Seramai 18 orang anak damit telah selamat dilahirkan pada 1 Muharam 1440 Hijrah seluruh daerah di Negara Brunei Darussalam iaitu anak yang lahir bermula masuk waktu Maghrib 1 Muharam 1440H hingga berakhirnya waktu Asar 1 Muharam 1440H.

Di Daerah Brunei dan Muara, seramai 15 orang anak damit, enam anak damit lelaki dan sembilan anak damit perempuan telah dilahirkan. Anak damit pertama dilahirkan ialah dari Daerah Brunei dan Muara iaitu pada jam 6:55 petang pada 1 Muharam 1440H bersamaan 10 September 2018 dan di Daerah Belait, dua orang anak damit lelaki telah selamat dilahirkan, manakala Daerah Tutong pula menyaksikan seorang anak damit perempuan dilahirkan dan Daerah Temburong tiada kelahiran dicatatkan.

Sehubungan dengan itu, majlis penyampaian hadiah kepada anak-anak damit yang lahir pada 1 Muharam 1440H sempena Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah Peringkat Negara bagi Daerah Brunei dan Muara telah diadakan pagi tadi di Bangunan Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusoff selaku Pemangku Menteri Kesihatan dan juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan isteri serta Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Pada majlis itu, setiap seorang anak damit menerima hadiah berupa barangan keperluan bernilai $200 dan Buku Agama dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menghadiri majlis penyampaian sumbangan hadiah kepada anak-anak damit yang lahir pada 1 Muharam 1440H.
Seramai 18 orang anak damit dari Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait menerima sumbangan sempena Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah Peringkat Negara.

Sementara itu, mereka juga menerima Akaun Simpanan Si Manja berjumlah $200 dan barangan anak damit bernilai $50 dari TAIB yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.

Manakala Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd turut menyumbangkan baucar Takaful Nur Saving berjumlah $250 dan hamper kanak-kanak yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap KHEU, selaku ahli Lembaga Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Dayang Jauyah dan Awang Ziemey merupakan penerima hadiah anak-anak damit yang lahir pada 1 Muharam 1440H bagi Daerah Tutong.

Di Daerah Tutong, pasangan suami isteri Dayang Jauyah binti Haji Yahya dan Awang Ziemey bin Haji Ahim yang melahirkan anak kedua mereka pada jam 2:19 petang pada 1 Muharam 1440H bersamaan 11 September 2018M menyatakan rasa penuh kesyukuran di atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, lebih-lebih lagi anak mereka dilahirkan pada tarikh kebesaran Islam.

Majlis yang diadakan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Daerah Tutong, pagi tadi menyaksikan tetamu kehormat, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerien Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan dan isteri menyampaikan hadiah kepada pasangan Awang Ziemey dan Dayang Jauyah.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dan Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

Haji Abdul Manap semasa menyampaikan hadiah kepada anak damit yang lahir awal tahun Hijrah 1440 bagi Daerah Belait.

Daerah Belait yang mencatatkan dua kelahiran menyaksikan pasangan Dr Najamuddin dan isteri, Sumaira menyambut kelahiran anak damit lelaki sulung mereka secara pembedahan pada jam 2:46 petang pada 11 September seberat 3.33 kilogram, manakala seorang lagi anak damit perempuan yang juga anak kedua pasangan Awang Mohammad Amin bin Osmandi dan Dayang Ermma Nurawaziella binti Nordin, juga dilahirkan secara pembedahan pada hari yang sama pada jam 2:46 petang dengan berat 3.34 kilogram.

Setiap anak damit tersebut telah menerima hadiah yang sama seperti di daerah-daerah lain cuma di Daerah Belait, hadiahnya telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman dan isteri.

Anak-anak damit yang baharu dilahirkan tersebut digelar sebagai anak damit 1 Muharam dan kelahiran mereka disambut dengan penuh kesyukuran seperti tahun-tahun sebelum ini.