Anak damit terkecil di dunia keluar hospital

TOKYO, 19 April – Anak damit lelaki terkecil di dunia yang lahir pada Oktober yang lalu dengan seberat sebiji epal di Jepun kini bersedia dikeluarkan dari hospital.

Ryusuke Sekiya telah dilahirkan di hospital bahagian kecemasan secara caesarean di usia kehamilan 24 minggu dan lima hari kerana ibunya, Toshiko mengalami hipertensi.

Dengan seberat 258 gram (9.1 auns), dia lebih ringan daripada pemegang rekod sebelumnya, seorang budak lelaki Jepun yang beratnya hanya 268 gram ketika dilahirkan tahun lalu. Anak damit itu telah pun dikeluarkan dari hospital Tokyo pada bulan Februari lalu.

Semasa Ryusuke lahir pada 1 Oktober 2018, sukatannya ialah 22 sentimeter (8.66 inci) panjang dan kakitangan perubatan meletakkannya dalam unit penjagaan rapi neonatal.

Hampir tujuh bulan berada di hospital berkenaan, timbangan anak damit lelaki tersebut telah meningkat sebanyak 13 kali iaitu tiga kilogram. Dia akan dikeluarkan dari Hospital Kanak-kanak Nagano di tengah Jepun pada hujung minggu.

Anak damit perempuan terkecil telah dilahirkan di Jerman pada tahun 2015 seberat 252 gram, menurut pendaftaran yang disatukan oleh Universiti Iowa bagi anak damit yang terkecil di dunia. – AFP

Ryusuke Sekiya, enam bulan, bersama ibu bapanya sebelum dikeluarkan dari hospital di Azumino, Nagano. – AFP