Anak didik Obama jadi calon presiden

SAN ANTONIO, 13 Jan – Julian Castro, bekas datuk bandar di San Antonio, Texas dan anggota kabinet semasa dipimpin oleh Presiden Barack Obama, melancarkan cubaan menjadi presiden Amerika Syarikat (AS) pertama dari keturunan Hispanik, mengetengahkan mesej harapan dan kepelbagaian ketika rakyat AS meningkatkan perdebatan hangat berhubung isu imigresen dan keselamatan sempadan.

“Saya akan bertanding untuk Presiden Amerika Syarikat,” umum Castro, 44, kepada kumpulan penyokongnya di Plaza Guadalupe, San Antonio dalam satu ucapan yang kerap kali menekankan mengenai isu imigran.

Sering digelar ahli politik yang semakin meningkat naik dalam Parti Demokrat, Castro yang pernah menjadi setiausaha di bawah pimpinan Obama, serta anggota kabinet paling muda ketika itu, dijangka menjadi sebahagian calon meluas dan pelbagai yang bersedia mencabar Donald Trump.

Ketika kerajaan persekutuan ditutup sebahagiannya apabila Presiden AS itu menuntut dana membina tembok di sempadan Mexico, Castro memberi mesej bertentangan.

Beliau berkata San Antonio merupakan tempat tinggal bagi dua pertiga penduduk Hispanik, ‘mewakili masa depan AS, pelbagai, meningkat pantas serta optimis’.

Castro ketika mengumumkan keputusannya untuk bertanding bagi jawatan presiden AS dalam satu perhimpunan di San Antonio, Texas kelmarin. – AFP

“Ya, kita perlu memiliki keselamatan sempadan, namun ada cara bijak dan berperikemanusiaan untuk melakukannya.

“Tiada cara lebih kejam berbanding memenjarakan kanak-kanak untuk memastikan kita selamat,” kata Castro.

“Kita mengatakan tidak kepada tembok dan ya untuk membangunkan masyarakat,” tambahnya sambil disambut dengan sorakan kuat daripada penyokongnya.

Trump sebelum ini menginginkan pembinaan tembok untuk menghalang kedatangan imigran haram bagi mengatasi masalah jenayah, penyalah gunaan dadah dan gengster yang berleluasa.

“Krisis hari ini memang ada, iaitu krisis kepimpinan. Donald Trump telah gagal untuk menegakkan nilai negara hebat kita,” kata Castro.

Sambil menggesa penyokong melihat sekitar kejiranan kolar biru tempat beliau membesar, Castro berkata: “Tiada calon yang lahir di sini, namun dengan impian besar dan kerja keras, tiada apa yang mustahil di negara ini.” – AFP