Anak dugong jadi sensasi internet

BANGKOK, 14 JUN – Seekor anak dugong yang kini rapat dengan manusia selepas terpisah daripada ibunya dan sesat di lautan di selatan Thailand, dipelihara oleh pakar marin dengan harapan satu hari kelak ia boleh berdikari.

Anak dugong dianggarkan berusia lima bulan dinamakan Marium itu kini menjadi sensasi internet di Thailand selepas imej-imej ahli biologi marin memeluk dan memberi mamalia akuatik itu makanan rumpai laut dan menyusukannya tersebar dalam media sosial.

Dugong merupakan spesies mamalia marin yang hampir serupa dengan manatee Amerika dan boleh membesar sehingga 3.4 meter panjang.

Status pemuliharaannya disenaraikan sebagai terdedah kepada bahaya oleh International Union for the Conservation of Nature.

Pegawai cuba membebaskannya ke dalam habitat dugong di pesisir sebuah lagi pulau lain namun ia berenang menjauhinya. Mereka percaya ia sud ah membentuk ikatan dengan manusia selain tertarik dengan bentuk sisi kanu, mungkin melihatnya sebagai pengganti ibunya. – AP

Gambar menunjukkan pegawai dari Jabatan Sumber Marin dan Laut memeluk Marium, seekor anak dugong yang terpisah daripada ibunya di pulau Libong, selatan Thailand. Anak dugong itu mesra dengan manusia dan kini menjadi sensasi internet di negara itu. – AP
Gambar fail bertarikh 23 Mei lalu menunjukkan anak dugong yang diberi makan rumpai laut di Pulau Libong, wilayah Trang, selatan Thailand. – AP