Kemunculan istimewa anak sulung Datuk Farid Kamil iaitu Muhammad dalam filem Rempit-2 merupakan batu loncatan untuk kanak-kanak itu memulakan langkah dalam bidang lakonan.
Menceritakan pembabitan awal sebagai pelakon, Farid Kamil berkata Muhammad, 7 tahun, menunjukkan minat dan pernah menyatakan hasrat untuk berlakon dalam filem aksi.
“Sebenarnya secara kebetulan Muhammad jadi pelakon dalam filem Rempit-2, kita memang dah buat skrip dan perlukan pelakon kanak-kanak yang boleh naik motosikal.
“Setiap kali buat latihan, saya bawa dia bersama tapi dia pula yang teruja dan berada atas motor dulu, dia berminat jadi terus terdetik di hati saya apa salah kalau saya cuba.
“Saya tanya Muhammad, dia kata nak belakon filem aksi macam J Revolusi tapi itu belum sampai tahap dia lagi, Rempit-2 jadi permulaan!” katanya.
Bagi memastikan Muhammad mampu membawakan watak tersebut dengan baik, Farid berkata dia menghantar anak sulungnya itu mengikut kelas bersama pelakon Dr Norzizi Zulkifli selama sebulan.
“Disebabkan dia berminat, jadi saya ambil inisiatif sendiri hantar ke kelas lakonan yang dikendalikan oleh Dr Norzizi dan menjalani beberapa sesi kelas lakonan.
Ditanya adakah selepas ini dia akan mendedahkan anaknya dengan dunia lakonan dan menerima tawaran daripada produksi lain.
Farid berkata, dia tidak melarang minat Muhammad itu, namun adalah lebih baik jika anaknya itu fokus terhadap pelajaran terlebih dahulu. – Agensi
