Anak gajah didera untuk pelancongan

BANGKOK, 25 JUN – Rakaman sebahagian filem yang menunjukkan seekor anak gajah yang menderita dicucuk angkus di sebuah kem Thailand bagi menjinakkannya sebelum menyertai industri pelancongan, didedahkan oleh pendukung pemuliharaan dalam usahanya menamatkan amalan itu.

Rakaman diambil menggunakan kamera tersembunyi tahun lalu dan disiarkan oleh kumpulan hak asasi haiwan berpusat di UK, World Animal Protection (WAP) menunjukkan apa yang didakwa sebagai pemisahan paksa anak gajah berusia dua tahun itu daripada ibunya.

Anak gajah yang menderita itu dikurung dalam ruang kecil dikenali sebagai ‘crush box’ dan dirantai serta diikat selama berhari-hari ketika ia cuba melarikan diri.

Anak gajah itu berulang kali dicucuk dengan angkus, alat besi bercangkuk tajam di hujungnya untuk memastikan ia memahami arahan asas, ada kalanya sehingga menyebabkan ia berdarah. Kira-kira 3,000 gajah jinak digunakan untuk bekerja dalam sektor pelancongan Thailand, sama ada untuk tunggangan atau melakukan persembahan menghiburkan pengembara. – AFP