Anak gorila terancam, mati di zoo New Orleans

NEW ORLEANS, 11 SEPT – Kurang dari seminggu selepas menyambut kelahiran seekor gorila yang terancam, zoo di New Orleans berduka cita atas kematian gorila tersebut.

Anak gorila dari tanah rendah barat dilahirkan pada Jumaat dan mati pada Rabu, menurut jurucakap Zoo Audubon, Katie Smith kelmarin. Punca kematian masih belum diketahui tetapi pegawai berkata Tumani, ibunya yang berusia 13 tahun, mungkin tidak dapat mengeluarkan air susu yang mencukupi.

“Terdapat banyak risiko yang melibatkan kelahiran gorila dan malangnya, ia bukan suatu perkara yang ganjil bagi ibu gorila yang baru melahirkan kehilangan anaknya,” kata Dr. Robert Maclean, doktor haiwan Audubon, dalam kenyataan media.

Hasil nekropsi akan dibuat dalam beberapa minggu, menurut kenyataan.

Anak gorila tersebut kelihatan sihat pada permulaannya dan penjaga zoo menjarakan diri untuk mengelak dari mengganggu kedua-duanya – jantina anak gorila itu masih belum diketahui dan masih belum diberikan nama. Tetapi pada Rabu, anak gorila tersebut kelihatan lesu dan keletihan.

Ia telah dibawa ke hospital haiwan tetapi doktor haiwan tidak sempat menyelamatkannya, menurut kenyataan.

“Kami sangat sedih atas kematian itu,” kata Ron Forman, presiden dan ketua pegawai eksekutif Institusi Alam Audubon.

“Ia adalah kerja-kerja yang dijalankan selama bertahun-tahun, dari pengenalan ahli baharu hingga ke pengumuman kelahiran,” katanya. – AFP

Gambar fail ibu gorila memangku anaknya sejurus kelahiran di Zoo Audubon, New Orleans. Anak gorila itu bagaimanapun mati kurang seminggu selepas dilahirkan. – AP