Anak harimau Sumatera belajar memburu

WARSAW – Anak harimau Sumatera yang berusia dua bulan mula mengenal dunia dan belajar memburu dari ibunya di sebuah zoo di barat daya Poland, yang pertama yang dilahirkan di sana dalam masa 20 tahun.

Anak harimau betina yang masih belum diberikan namanya itu dilahirkan pada 23 Mei sebagai anak pertama yang dilahirkan ibunya, Nuri dan pihak berkuasa di Zoo Wroclaw sangat gembira kerana ibunya menjaganya dengan sangat baik.

Jurucakap dari zoo, Joanna Kij berkata kelahiran harimau itu merupakan kejayaan besar bagi zoo binatang tersebut.

“Ia sangat berani dan sudah mula mengenal dunia dengan berlari-lari dan bergantung pada cuaca yang mana ibunya membiarkannya berlari atau tidak,” kata Beata Nieweglowska, yang bertugas sebagai penjaga di zoo binatang tersebut.

“Ia belajar semua tingkah laku seperti harimau dewasa dan ibunya menunjukkan kepadanya bagaimana untuk membesar, apa yang harus ia takutkan, apa yang ia tidak harus takutkan dan bagaimana memburu,” katanya ketika ditemui Rabu lalu.

Bapa harimau itu, yang dikenali sebagai Tengah, turut menyaksikan kelahiran anaknya itu, kemudian pergi, suatu perkara biasa bagi harimau jantan yang tidak mengambil bahagian dalam pembesaran anaknya, kata Radoslaw Ratajszczak, ketua lembaga pengurus Zoo Wroclaw.

Harimau Sumatera adalah antara spesies harimau yang terancam dengan tidak lebih daripada 500 ekor sahaja masih hidup di sekitar Sumatera, kerana habitat dan bekalan makanan haiwan liar ini semakin menyusut dengan cepat dan kerana pemburuan haram, kata Ratajszczak.

Zoo binatang di dunia, di mana sekitar 270 harimau Sumatera masih hidup, telah mengembangkan program untuk memelihara spesies tersebut dan penyelarasnya akan memutuskan ke mana harimau betina muda itu akan pergi akhirnya, kata Ratajszczak.

Nuri tiba ke Wroclaw pada tahun 2015 dari salah sebuah zoo di Paignton, England, sementara Tengah tiba di sana pada sekitar tahun 2010 dari Rheine, Jerman. – AP

Harimau Sumatera berusia dua bulan, kelihatan di Zoo Wroclaw, Poland. Anak harimau itu baru saja mengenal dunia dan belajar memburu mangsa daripada ibunya. Ia merupakan anak harimau pertama dilahirkan di zoon itu dalam masa 20 tahun. – AP