Anak Kobe Bryant teruja dapat kardigan dari Taylor Swift

Anak perempuan kepada mendiang pemain bola keranjang Kobe Bryant, Natalia Bryant meluahkan rasa teruja menerima sehelai kardigan daripada penyanyi terkenal Taylor Swift.

Penghantaran tersebut yang disertakan dengan sebuah nota dan baju panas berwarna krim dikongsikan Natalia menerusi Instagram baru-baru ini.

Kardigan tersebut merupakan salah satu koleksi terbaharu Taylor.

“Terima kasih, Taylor. Saya obsesi dengan Folklore,” tulis Natalia.

Rekaan kardigan itu diinspirasikan oleh Cardigan, single daripada album terbaharu Taylor yang berjudul Folklore.

Selain Natalia, Taylor turut menghantar kardigan tersebut kepada beberapa rakan artis termasuk Abigail Anderson, Jennifer Hudson, Maren Morris dan Kelsea Ballerini.

Natalia merupakan anak sulung kepada mendiang Kobe dan balunya Vanessa.

Kobe dan seorang lagi anak perempuannya, Gianna maut dalam nahas helikopter pada Januari lalu. – Agensi

Taylor Swift telah mengirim sehelai kardigan kepada anak perempuan Kobe Bryant, Natalia baru-baru ini. – Agensi