TRIPOLI, 11 Jun – Seif al-Islam, anak lelaki kedua bekas pemimpin diktator Muamar Gaddafi, dikatakan telah dibebaskan di Libya selepas lebih lima tahun dalam tahanan.
Briged Abu Bakr al-Sadiq, militia yang mengawal bandar Zintan di barat Libya, berkata Seif al-Islam telah dibebaskan lewat Jumaat, di bawah undang-undang pengampunan oleh parlimen yang berpangkalan di timur negara itu semasa bulan suci Islam Ramadan.
“Dia kini bebas dan telah meninggalkan bandar Zintan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.
Tidak ada pengesahan bebas mengenai pembebasan Seif al-Islam, yang boleh mencetuskan ketidakstabilan seterusnya di negara yang sudah pun dilanda perpecahan dan keganasan.
Seif al-Islam telah ditahan di Zintan sejak November 2011, beberapa hari selepas ayahnya terbunuh dalam pemberontakan yang disokong NATO yang menentang pemerintahan berdekad lamanya. – AFP