Pemenang program Terpaling Juara musim pertama, Rahmad Mega meluahkan rasa syukur apabila anak lelakinya, Suhazri Amrin Rahmad berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaysia Pahang (UMP), baru-baru ini.
Rahmad atau Rahmad Tohak, 53, berkata, sebagai seorang bapa dia bangga dengan pencapaian anaknya itu dan turut mendoakan agar Suhazri terus berjaya dalam kariernya selepas ini.
“Tahniah buat anakanda kerana berjaya menyelesaikan pengajian peringkat Ijazah Sarjana, papa doakan semoga terus berjaya,” katanya.
Rahmad berkongsi berita gembira itu menerusi hantaran di Instagram serta memuat naik gambar bersama isteri dan anaknya itu selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UMP di Kuantan, Pahang.
Suhazri menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana dalam bidang Sains pada usia 25 tahun.
Sementara itu, peminat penyanyi berkenaan turut mengucapkan tahniah dan mendoakan agar Suhazri berjaya dalam karier yang dipilih.
Ada juga dalam kalangan pengikutnya di Instagram mengusik sama ada Suhazri adalah benar-benar anaknya kerana mereka kelihatan seperti adik-beradik.
“Tahniah buat abang Rahmad sekeluarga. Anak ke adik tu? Nampak macam rakan sebaya! Semoga terus berjaya dunia dan akhirat,” komen warganet.
Difahamkan, Rahmad turut membuat kejutan kepada graduan pada majlis konvokesyen berkenaan apabila tampil membuat persembahan.
“Saya tengok abang Rahmad buat persembahan tadi dan suara masih macam dahulu juga, suara masih power!
“Tahniah buat anak lelaki, tadi tengok abang Rahmad buat persembahan dan abang memang Terpaling Juara,” komen peminat di unggahan tersebut. – Agensi