FORT MYERS, FLORIDA, 8 OGOS – Seorang ibu yang berkata dia dan keluarganya mengikut diet ketat dengan hanya memakan buah-buahan dan sayur-sayuran mentah akan berdepan hukuman hari ini atas kematian anak lelakinya berusia 18 bulan yang kekurangan zat makanan.
Sheila O’Leary, 38, disabitkan bersalah pada Jun atas enam pertuduhan — pembunuhan dengan niat, penganiayaan teruk kanak-kanak, pembunuhan, penderaan kanak-kanak dan dua pertuduhan pengabaian kanak-kanak — dalam kematian Ezra O’Leary. Perbicaraan ditetapkan pada petang ini di Daerah Lee, Florida.
O’Leary dan suaminya Ryan Patrick O’Leary, yang berdepan perbicaraan atas tuduhan sama bulan ini, memberitahu penyiasat anak kecil itu juga telah diberi susu ibu. Berat budak lelaki itu hanya 8 kilogram dan sebesar anak damit berusia tujuh bulan, menurut laporan polis.
“Anak ini tidak makan. Dia mati kelaparan selama 18 bulan,” kata Francine Donnorummo, ketua unit mangsa khas di Pejabat Peguam Negeri Daerah Lee, semasa perbicaraan.
Pasangan itu mempunyai dua lagi anak, berumur 3 dan 5 tahun, yang juga kekurangan zat makanan, kata penyiasat.
Anak keempat telah diserahkan kepada bapa kandungnya semasa kes kekurangan zat makanan di Virginia, menurut rekod mahkamah.
Peguamnya menunjukkan gambar O’Leary bersama salah seorang anaknya semasa perbicaraan, bertujuan untuk menunjukkan dia tidak pernah berniat untuk mencederakan mereka.
“Adakah itu kelihatan seperti seorang ibu yang mahu membunuh anaknya? Hanya kerana ia berlaku tidak bermakna dia melakukan jenayah,” kata peguam Lee Hollander berkata.
Hollander telah meminta perbicaraan baharu, mengatakan ‘kesilapan’ telah membawa kepada sabitan kesalahannya.
Jika usul itu dibenarkan, dia berkata dia mahukan peguam baharu, memberitahu hakim pada bulan Julai bahawa peguamnya tidak membelanya seperti yang dimahukannya. – AP