Anak menteri India ditangkap atas tuduhan membunuh

NEW DELHI, 10 OKT – Anak lelaki menteri India ditahan atas tuduhan membunuh, kata polis hari ini, seminggu selepas kematian lapan orang semasa tunjuk perasaan para petani yang mencetuskan kemarahan di seluruh negara itu.

Ashish Mishra telah diberkas di Uttar Pradesh semalam berhubung insiden tersebut di daerah Lakhimpur Kheri, di mana para petani membantah perundangan berkaitan industri pertanian negara.

Kumpulan petani sebelum ini mendakwa konvoi mengiring Mishra dan ayahnya – menteri junior hal ehwal dalam negeri, Ajay Mishra – merempuh ke arah para pembantah, sekali gus membunuh empat orang.

Penunjuk perasaan yang berang kemudian membakar beberapa buah kereta dengan empat orang lain, termasuk seorang pemandu dan seorang jurnalis, terbunuh, menurut pihak berkuasa dan laporan media tempatan.

Mishra telah ditangkap atas dasar ‘tidak bekerjasama’ dan ‘mengelak’ semasa siasatan berjam-jam lamanya, kata Timbalan Inspektor Jeneral Polis, Upendra Kumar Agrawal kepada para wartawan.

Mishra akan dihadapkan ke mahkamah esok dan dakwaan rasmi perlu difailkan dalam tempoh 90 hari. Mishra dan ayahnya menafikan pertuduhan tersebut. – AFP