Anak Muammar Gaddafi dibebaskan dari penjara

TRIPOLI, 6 SEPT – Anak pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang diguling dan dibunuh pada 2011, Saadi Gaddafi telah dibebaskan dari penjara.

Perkara itu disahkan oleh sumber Kementerian Keadilan kepada AFP, semalam.

Pembebasan Saadi adalah sejajar keputusan mahkamah beberapa tahun lalu, kata sumber itu tanpa menjelaskan sama ada beliau masih berada di Libya.

Semalam, laporan beberapa media mendakwa Saadi telah menaiki penerbangan ke Turki.

Sumber pejabat pendakwa raya turut mengesahkan kepada AFP berhubung pembebasan Saadi, 47.

“Beberapa bulan lalu, ketua pendakwa raya meminta agar keputusan berkait Saadi Gaddafi dilaksanakan sebaik saja semua syarat ditetapkan sudah dipenuhi,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, Saadi bebas untuk tinggal di Libya atau sebaliknya.

Saadi yang juga bekas pemain bola sepak profesional, dipenjarakan di Tripoli atas pertuduhan jenayah terhadap penunjuk perasaan pada 2011 dan membunuh jurulatih bola sepak Libya, Bashir al-Rayani, pada 2005.

Pada April 2018, Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh al-Rayani. – AFP

Gambar fail menunjukkan Saadi Gaddafi, anak lelaki Muammar Gaddafi, duduk menunggu perbicaraan di mahkamah di ibu negara Libya Tripoli. Saadi telah dibebaskan dari penjara, menurut sumber kementerian keadilan. – AFP