TAIPEI, 20 Ogos – Taiwan telah lama melihat sekutu-sekutu antarabangsanya mengubah kesetiaan kepada Beijing, tetapi kini juga timbul kebimbangan tentang penghijrahan cendekiawan dari golongan belia negara pulau itu apabila mereka memburu karier di China.
Ketegangan selat seberang telah meningkat sejak Tsai Ing-wen, pemimpin bukan pro China mengambil alih pucuk pimpinan tahun lalu, dengan Beijing memutuskan semua hubungan rasmi.
China masih menganggap pulau yang diperintah sendiri itu sebagai sebahagian wilayahnya yang akan disatukan semula, namun anak-anak muda terutamanya telah semakin membentuk rasa bangga dalam identiti Taiwan mereka.
Mereka berada di hadapan dalam sentimen anti Beijing dalam beberapa tahun kebelakangan dan dalam Pergerakan SunFlower pernah menduduki parlimen Taiwan dalam membantah perjanjian perdagangan dengan China.
Bagaimanapun, dengan gaji permulaan bulanan bagi lepasan kolej tidak berubah pada di bawah Tw$30,000 sejak 1990an dan harga hartanah dan pengguna melonjak naik, sebilangan kini mengambil pendekatan lebih pragmatik.
China juga memancing bakat anak-anak muda Taiwan dalam yang menurut para penganalisis ‘tekanan kuasa lembut’ untuk menguasai sentimen politik.
Menurut Pejabat Hal Ehwal Taiwan China (TAO) lebih 6,000 orang belia Taiwan bekerja atau menjadi pelatih di lebih 50 pusat start-up belia yang telah dilancarkan sejak 2015.
Para peneraju perniagaan dan politik terkenal China, termasuklah Perdana Menteri Li Keqiang dan pengasas Ali baba Jack Ma, juga menggalakkan belia Taiwan untuk memburu karier di China. – AFP