‘Anak naga’ dipamerkan di Slovenia

POSTOJNA, SLOVENIA, 12 JUN – Menyelinap dalam akuarium bawah tanah, tiga ‘anak naga’ telah dipamerkan dalam sebuah gua Slovenia, di mana ia ditetas pada 2016 dalam kejayaan pembiakan yang luar biasa, kata pegawai semalam.

Hanya 30 orang pelawat dibenarkan sehari untuk melihat anak naga – pemangsa bawah permukaan air zaman kuno yang boleh hidup sehingga 100 tahun dan hanya dibiak sekali dalam satu dekad.

“Kami berasa bangga untuk memperkenalkan tiga daripada 21 anak salamander, ‘anak naga’ yang terkenal di dunia, yang telah kami awasi sejak 2016,” kata pegawai dari gua Postojna dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiganya adalah antara 21 anak yang ditetaskan pada 2016 apabila salah seekor salamander di gua bertelur 60 biji telur dalam salah satu tangki pengawasan.

Untuk memastikan ia hidup dan mengumpul lebih banyak maklumat mengenai haiwan tersebut, pihak berkuasa gua menyimpan telurnya jauh daripada pelawat dalam sebuah makmal gua sebagai ‘rahsia yang dikawal ketat’ – sehingga sekarang.

Mencecah panjang maksimum 35 sentimeter, haiwan buta dengan empat anggota kecil ini adalah jauh daripada makhluk menakutkan yang dibayangkan dalam cerita budaya rakyat.

Ada kalanya juga dirujuk sebagai ‘ikan manusia,’ haiwan itu mempunyai tiga insang di setiap satu daripada muncung bujurnya. Kulit tubuh badan merah jambu menjadikannya senang untuk melihat organ dalamannya.

Spesies seperti belut itu boleh hidup tanpa makanan sehingga satu dekad.

Ditemui kebanyakannya di sungai gua Balkan, salamander telah hidup di gua Postojna, 50 kilometer dari barat daya ibu negara Ljubljana. – AFP

Seekor anak salamander kelihatan dalam sebuah akuarium di Gua Postojna, Slovenia kelmarin. – AFP