LONDON, 25 Nov – Sebuah anak patung pernah menjadi mainan pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dijangka mampu meraih jualan sehingga 800 pound sehingga 1,200 pound apabila ia dilelong bulan depan. Akhbar Mirror melaporkan anak patung itu dilengkapi kot berwarna biru firus, berambut kerinting berwarna perang dan bermata biru serta beberapa helai baju lain yang boleh digantikan.
Menurut pakar barangan dan fesyen antik, Kerry Taylor, anak patung itu merupakan barang permainan Ratu Elizabeth II ketika ratu tersebut berusia 10 tahun dan sesuatu yang amat disayanginya.
“Seperti yang anda boleh lihat, terdapat beberapa kesan gosokan pada hidung anak patung tersebut yang menunjukkan permainan ini sering digunakan oleh pemiliknya,” katanya.
Permainan itu merupakan anak patung diraja pertama yang akan dilelong dalam satu acara pada bulan depan di sini. – Agensi
































