Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Anak perempuan Duterte angkat sumpah sebagai naib presiden

    MANILA, FILIPINA, 19 JUN – Sara Duterte, anak perempuan presiden Filipina yang akan berundur, mengangkat sumpah pada Ahad sebagai naib presiden berikutan kemenangan besar dalam pilihan raya meskipun dengan rekod hak asasi kemanusiaan bapanya yang menyaksikan beribu-ribu orang suspek dadah ditembak mati.

    Pelantikan di selatan Davao, di mana beliau merupakan datuk bandar yang akan berundur, diadakan dua minggu sebelum beliau mengambil alih jawatan pada 30 Jun seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Filipina.

    Bakal Presiden Ferdinand Marcos Jr, pasangan bertanding Duterte, akan mengangkat sumpah di Manila pada 30 Jun.

    “Saya bukanlah orang terbaik atau paling bijak di Filipina dan di dunia tetapi tiada siapa yang boleh mengalahkan kekuatan hati saya sebagai rakyat Filipina,” Duterte, yang memakai gaun tradisional berwarna hijau, berkata dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah di hadapan hakim bersekutu Mahkamah Tinggi.

    “Suara 32.2 juta rakyat Filipina adalah lantang dan jelas, dengan mesej untuk berbakti kepada tanah air kita,” Duterte berkata, merujuk kepada undian yang diperolehinya, kepada tepukan daripada beribu-ribu penyokong.

    Digelar oleh penyokong sebagai ‘Inday Sara’, ibu kepada tiga anak itu menyeru bagi perpaduan negara dan meminta rakyat Filipina supaya mencontohi semangat patriotisme wira negara itu, Jose Rizal.

    Beliau memetik isu-isu sosial yang telah lama membelenggu kanak-kanak Filipina, termasuk kemiskinan, keretakan keluarga, dadah haram, pembulian dan maklumat salah dalam talian serta menyeru ibu bapa untuk memupuk nilai-nilai integriti, disiplin, menghormati orang lain dan belas kasihan.

    Presiden Rodrigo Duterte, 77, mendahului orang kenamaan di majlis yang dikawal ketat di kawasan dekat dewan bandar raya di bandar pelabuhan Davao, di mana beliau juga telah berkhidmat sebagai datuk bandar bermula lewat 1980an. – AP

    Sara Duterte (tengah) mengangkat sumpah di hadapan hakim (kiri), ibunya Elizabeth Zimmerman (dua kiri) dan Presiden Rodrigo Duterte (kanan) semasa majlis pelantikan dekat dewan bandar raya di Bandar Davao, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...