Anak perempuan VIP antara 29 ditahan langgar PKPP

KUALA LUMPUR,  27 OGOS – Anak perempuan seorang kenamaan antara 29 pengunjung yang ditahan oleh polis dalam serbuan ke atas sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail dekat sini awal pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata dalam serbuan pada 1:20 pagi itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, dipercayai pengurus pub serta seorang lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita Filipina yang disyaki pekerja premis.

“Anak kenamaan itu antara 20 lelaki dan sembilan wanita tempatan yang dipercayai pengunjung premis dan telah berada di premis tersebut melebihi had masa yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama