Anak ‘Rasputin’ diberkas di Denmark

SEOUL, 2 Jan – Anak perempuan Choi Soon-Sil, wanita yang menjadi tumpuan skandal rasuah yang membawa kepada pendakwaan Presiden Korea Selatan telah diberkas di Denmark selepas beberapa bulan bersembunyi, menurut pihak pendakwa Seoul hari ini.

Chung Yoo-Ra, 20 tahun, anak perempuan wanita yang digelar ‘Rasputin’ Korea Selatan adalah salah seorang dari orang yang dilibatkan dalam skandal yang menyalahgunakan pengaruh yang mencetuskan bantahan besar-besaran di jalan raya yang menuntut penyingkiran Presiden Park Geun-Hye.

Polis Denmark telah memberkas Chung malam semalam kerana tinggal lebih masa dari tempoh peraturan visa, pihak pendakwa Korea Selatan berkata, dengan menambah kata bahawa mereka sedang berunding dengan pihak berkuasa Denmark untuk dia dihantar pulang ke Seoul.

Chung ditangkap di bandar utara Aalborg selepas polis mendapat maklumat daripada seorang jurnalis Korea, kata polis Denmark dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa perbicaraan mahkamah pada jam 1300 GMT hari ini, polis telah meminta agar Chung ditahan ‘sehingga isu ekstradisi diputuskan’.

Polis Denmark berkata Chung menyedari yang pihak berkuasa Korea Selatan ingin bercakap dengannya. Dia berada di negara itu ‘atas urusan dengan sukan ekuestrian’.

Choi, penasihat rahsia Park, dituduh menggunakan hubungannya dengan presiden untuk memaksa firma-firma termasuklah Samsung untuk ‘menderma’ hampir AS$70 juta kepada yayasan bukan untung yang kemudian wang itu digunakan oleh Choi bagi kegunaan peri-badinya.

Dia juga dituduh menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan kemasukan anak perempuannya ke universiti elit Seoul, dengan penyiasatan kerajaan mendedahkan sekolah itu telah menerima kemasukan Chung dengan menjejaskan calon-calon lain yang mempunyai kelayakan yang lebih baik lagi.

Pendedahan itu telah mencetuskan kemarahan baru di Korea Utara yang begitu mementingkan pendidikan dan para pendakwa akan menyoal Chung tentang kemasukannya ke Universiti Ewha Women pada tahun 2014.

Park dituduh berpakat dengan Choi untuk mengeluarkan wang dari firma-firma dan juga membiarkannya campur tangan dalam hal ehwal kerajaan termasuklah pemilihan pegawai-pegawai tinggi, tetapi presiden menafikan semua tuduhan ke atasnya itu.

Parlimen pada 9 Disember lalu telah mengundi untuk mendakwa Park berhubung skandal dan kuasa eksekutifnya telah diserahkan kepada pemangku presiden, Perdana Menteri Hwang Kyo-Ahn.

Kes pendakwaan sedang dipertimbangkan oleh Mahkamah Perlembagaan, yang mempunyai tempoh hingga enam bulan untuk mencapai keputusannya, tetapi beratus-ratus ribu rakyat Korea Selatan menyertai bantahan berminggu-minggu yang menggesa bagi pengunduran segera Park dari jawatannya– AFP