Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak Sarawak perlu bersatu

    KUCHING, 28 MEI – Rakyat Sarawak, tidak kira latar belakang atau pegangan agama perlu kekal bersatu padu bagi meneruskan usaha kerajaan negeri Sarawak dalam membangunkan ekonomi Bumi Kenyalang, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Berucap pada majlis Pelancaran Kembara Sarawak Merdeka di Taman Awam Lawas hari ini, beliau berkata, perubahan impak positif ekonomi di negeri itu berpotensi menjadikan Sarawak sebagai penjana kepada pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

    “Jadi kita (anak Sarawak) jagalah perpaduan dan dalam mengingati 60 tahun Sarawak merdeka, kita mesti mempunyai hala tuju baharu. Sudah tentu kita melatih anak muda untuk teruskan usaha pembangunan kita ke arah 60 tahun yang akan datang,” katanya.

    Beliau berkata, peralihan ekonomi Sarawak yang kini berteraskan ekonomi hijau juga mampu menjadi contoh kepada negara lain.

    Bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur,’ konvoi kembara berkenaan akan menjadi acara utama antara sembilan program berskala besar diatur sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Kemerdekaan Sarawak.

    Kembara sejauh 3,516 kilometer melibatkan kawasan utara hingga selatan Sarawak itu bermula di bahagian Limbang hingga bahagian Kuching, berlangsung selama 56 hari bermula hari ini hingga 22 Julai 2023. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda