KUALA LUMPUR – Selepas anak perempuan Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana, muncul dengan program realiti sendiri menerusi Little Princess Aaisyah, selepas ini giliran anak sulung pasangan selebriti, Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani, pula bakal menghiasi kaca TV.
Begitupun, Yahaira Leanna yang hampir genap berusia dua tahun itu tidaklah ditampilkan menerusi rancangan televisyennya sendiri, sebaliknya sekadar menyerikan program eBu Babypedia musim kedua yang masih mengekalkan ibu bapanya sebagai perantara.
Rancangan berkenaan bakal menemui penonton menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD bermula 26 Julai ini. Kemunculan Yahaira itu juga bagai mengendurkan pegangan pasangan terbabit sebelum ini yang enggan terlalu mendedahkan anak mereka secara berlebihan dalam dunia hiburan.
Kata Yusry, program terbabit tidak hanya semata-mata memaparkan kisah anak mereka, sebaliknya lebih menyerlahkan perkongsian tips, petua dan maklumat berguna untuk penonton, terutamanya golongan bergelar ibu bapa.

“Format dan konsep program itu bukannya menggunakan nama anak kami atau semata-mata mengenai dirinya. Ia lebih kepada program separa realiti yang mahu mendidik masyarakat, terutama mereka yang bergelar ibu bapa dalam mengurus serta membesarkan anak. Kalau kami tidak masukkan sekali anak kami dalam program ini, ia mungkin kelihatan janggal kerana rancangan terbabit adalah mengenai perihal ibu bapa dalam membesarkan anak mereka,” kata Yusry.
Kata Yusry lagi, program itu juga tidak memerlukan anaknya berada dalam setiap rakaman yang dilakukan.
“Dia (Yahaira) tidak perlu mengikut semua jadual penggambaran, sebaliknya muncul secara spontan. Kami juga tidak memaksanya untuk melakukan penggambaran. Andai kata dia tiba-tiba muncul, maka terselit aksi dan wajahnya bersama kami di kaca TV,” katanya sambil memberitahu, penggambaran musim kedua program itu dilakukan ketika Lisa masih sarat mengandungkan anak kedua mereka, Yusof Leonne.