Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Bagi meraih keberkatan dalam bulan Ramadan yang mulia ini, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB) melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah mengadakan majlis penyampaian derma anak-anak yatim yang diselajurkan dengan bersungkai dan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.
Seramai 39 orang pelajar terdiri daripada anak yatim telah menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pengetua SMSAB, Sia Ai Chin dan Pengerusi PIBG SMSAB, Awang Rozailan bin Mohd Jaafar.
Turut hadir meramaikan acara berkenaan ialah ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PIBG SMSAB, guru-guru, kakitangan sekolah dan ahli-ahli keluarga pelajar yang menerima sumbangan.
Antara tujuan majlis itu adalah bagi mengambil berkat bersempena bulan Ramadan serta membantu anak-anak yatim dan meringankan beban mereka dalam sama-sama menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya yang bakal menjelang di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim kalangan ahli-ahli PIBG bersama warga sekolah.
