Anak yatim Temburong terima bantuan persekolahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Seramai 161 orang anak yatim di Daerah Temburong telah menerima 16 keping kupon, bernilai $450 keseluruhannya, setiap seorang untuk pembelian peralatan dan keperluan persekolahan serta keperluan asas bagi anak-anak yatim yang masih belum bersekolah daripada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA), hari ini.

Penyampaian kupon berkenaan telah diadakan di Dewan Belalong, Pekan Bangar, Daerah Temburong di mana hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaiannya ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku ketua pegawai eksekutif DANA.

Para penerima kupon berkenaan terdiri daripada anak-anak yatim yang berdaftar di Sekretariat DANA.

Kupon-kupon berkenaan sah ditukarkan atau digunakan di 25 buah syarikat yang membekalkan barang-barang keperluan persekolahan dan telah dikenal pasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat daerah.

Syarikat-syarikat ini termasuklah kedai-kedai yang membekalkan buku-buku latihan, buku-buku kerja, peralatan tulis, pakaian sekolah, beg dan kasut sekolah serta kedai-kedai yang membekalkan barang-barang keperluan harian kanak-kanak bagi anak yatim yang belum bersekolah.

Sumbangan berkenaan dihasratkan bagi memberi galakan dan kesedaran dalam kalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka pada masa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka.

Bagi ibu bapa dan penjaga pula, sumbangan dihasratkan bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung dalam menyediakan keperluan anak-anak mereka menjelang penggal awal persekolahan nanti.

Adalah diharapkan bantuan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan penjaga mereka.

Penyampaian kupon untuk Daerah Brunei dan Muara akan diadakan pada 12 Disember ini di Bridex, Jerudong; Daerah Belait pada 14 Disember di Kompleks Sukan Mumong, dan Daerah Tutong pada 17 Disember di Hotel Lanes.

Salah seorang anak yatim menerima sumbangan daripada tetamu kehormat. – Gambar serahan Yayasan