Ancam bunuh PM Ardern, lelaki dipenjara satu tahun

WELLINGTON, NEW ZEALAND, 31 MAC – Seorang lelaki New Zealand hari ini telah dijatuhkan hukuman penjara satu tahun kerana membuat ancaman untuk membunuh Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Para pendakwa raya berkata Michael Cruickshank (gambar-AP), 56, telah menghantar 88 e-mel panjang kepada pegawai kerajaan pada 2019 dan 2020, menggelar mereka penjenayah, penjual hamba dan pengganas disekat kerajaan.

Namun dua e-mel yang dihantar pada Januari 2020 telah melampaui batas berunsur keganasan. Dalam satu e-mel, Cruickshank mengancam untuk meletupkan kepala Ardern dan satu lagi dia akan ‘menghapuskannya sendiri di muka bumi ini,” lapor The New Zealand Herald.

Dia turut menghantar salah satu e-mel tersebut kepada ahli perundangan Andrew Little, yang kini menteri kesihatan.

Cruickshank yang berpakaian serba hitam mundar-mandir ke depan dan belakang semasa mendengar perbicaraan di Mahkamah Daerah Auckland, lapor Herald.

Hakim Brooke Gibson berkata Cruickshank bukan calon yang baik untuk ditahan di rumah.

Hakim memetik laporan perbicaraan hukuman itu menunjukkan Cruickshank sudah berang selama berdekad-dekad dengan agensi-agensi tersebut selepas mengalami kemalangan pada 1995 dan tidak berpuas hati dengan sokongan yang diterimanya selepas itu.

“Awda benar-benar kurang pandangan. Awda mempunyai rasa tinggi diri dan sepertinya tidak mengenal batasan,” kata hakim, memetik laporan itu, menurut Herald. – AP