Ancaman bom, Taj Mahal ditutup sementara

NEW DELHI, 4 MAC – Pihak berkuasa di Uttar Pradesh, India hari ini menutup sementara tempat pelancongan ikonik negara itu, Taj Mahal, berikutan ancaman bom.

Pelancong diminta meninggalkan premis tersebut berikutan kebimbangan itu, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan.

“Pada Khamis, lebih 1,000 pelancong di Taj Mahal diminta mengosongkan tempat itu setelah pihak berkuasa menerima ancaman bom daripada pemanggil tidak dikenali,” menurut laporan media tempatan.

Ancaman itu mencetuskan panik dan pihak berkuasa telah mengerahkan pasukan polis ke tempat kejadian.

Makam marmar berwarna putih gading itu adalah tarikan terbesar bagi pelancong di India, dibina pada 1653 oleh maharaja Mughal Shah Jahan untuk mengenang isterinya Mumtaz Mahal. – Bernama

Para pegawai keselamatan menggunakan pengesan logam di perkarangan Taj Mahal di Agra pada 4 Mac susulan ancaman bom. – AFP