Ancaman buaya serius

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Kes-kes buaya yang menyerang manusia dan muncul di kawasan-kawasan awam di negara ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, dengan sejumlah 190 insiden berkaitan buaya dicatatkan dari tahun 2014 sehingga 2018, berdasarkan statistik diperoleh dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Manakala hasil maklumat daripada akhbar-akhbar dan pemantauan yang dibuat oleh Bahagian Kehidupan Liar, sebanyak 28 kes yang melibatkan serangan buaya sepanjang 2015 sehingga 2018 dicatatkan; pada 2015 sebanyak tujuh kes dilaporkan yang mengakibatkan satu kematian, 2016 pula 11 kes yang menyebabkan dua kematian dan satu kecederaan, 2017 tiga kes tanpa kematian dan kecederaan manakala 2018 pula sebanyak enam kes dan satu kematian dilaporkan serta awal 2019 pula satu kes buaya menyebabkan kecederaan ke atas seorang warga emas di Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait dilaporkan.

Peningkatan insiden berkaitan buaya ini perlu ditangani segera, kata Ketua Bahagian Kehidupan Liar, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Mardani bin Haji Mahadi dalam taklimat bertajuk ‘Overview on the Status of Crocodiles in Brunei’ semasa Latihan Pengurusan Buaya: Langkah dalam Menangani Ancaman Buaya Liar di Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Bilik Teater Nur Huda, Kompleks Perikanan Muara, Jabatan Perikanan, hari ini.

Menurutnya lagi, kehadiran reptilia berkenaan di kawasan awam yang kemudiannya sering ditularkan dalam media sosial, termasuk sungai dan taman riadah berhampiran sungai mungkin disebabkan habitat binatang berkenaan semakin terancam disebabkan pembangunan yang pesat yang membawa kepada gangguan kepada sumber makanannya.

Latihan anjuran Bahagian Kehidupan Liar KSSUP itu, diadakan selama dua hari bermula hari ini hingga 14 Februari disertai 40 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Jabatan Perhutanan dan Bahagian Hidupan Liar KSSUP, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Diraja Brunei dan agensi-agensi berkenaan dari Pasukan Bertindak Menangani Isu-isu Pencerobohan Buaya di Negara Brunei Darussalam.

Antara peserta yang menghadiri Latihan Pengurusan Buaya di Bilik Teater Nur Huda, Kompleks Perikanan Muara, Jabatan Perikanan.

Pada latihan itu, dua orang pakar dari Crocodile Research and Conservation, Crocodylus Porosus Philippines, sebuah badan NGO Republik Filipina telah pun dijemput mengendalikan bengkel tersebut.

Latihan dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Haji Abdul Halidi bin Haji Mohd Salleh.

Menurut Awang Mardani lagi, ke arah menangani dan mengurus perkara berkenaan, sebuah pasukan bertindak telah ditubuhkan pada 11 April 2018 yang berperanan untuk membuat penilaian dan menangkap buaya-buaya yang dilaporkan serta untuk memasang papan-papan tanda amaran di kawasan-kawasan kunjungan orang ramai yang dikenal pasti mempunyai kehadiran buaya.

Bahagian Kehidupan Liar telah memasang enam papan tanda amaran iaitu dua di Daerah Brunei Muara di Taman Jubli Perak dan Taman Mahkota Jubli Emas, satu di Daerah Tutong di Pekan Tutong, dua di Daerah Belait di Taman Persiaran Kuala Belait dan Kampung Sungai Teraban serta satu di Daerah Temburong di Pekan Bangar.

Awang Mardani menjelaskan lagi bahawa usaha ke hadapan untuk menangani isu itu adalah bagi koordinasi dan kerjasama yang lebih kuat dalam pelaksanaan pasukan bertindak, memperbaiki lagi kerjasama menerusi koordinasi dan konsultasi bersama agensi-agensi yang relevan, persatuan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang berkepentingan di dalam dan luar negara, meningkatkan lagi program pendidikan dan kesedaran menerusi jerayawara, sesi dialog dan media, mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar-pakar, pembangunan kapasiti serta melaksanakan kajian mengenai jumlah buaya air masin dan Malayan False Gharial di Negara Brunei Darussalam.

Dengan adanya kajian itu, ulasnya, ia akan membolehkan pihak-pihak yang berkenaan untuk membuat perancangan mengenai dengan pengurusan jumlah buaya yang mampan di Brunei.

Latihan menumpukan perkara-perkara berkaitan kesedaran mengenai buaya, konflik antara buaya-manusia, isu-isu berkaitan perundangan dan akta, teknik dan kaedah penangkapan buaya termasuk peralatan-peralatan berkesan bagi menangkap buaya serta mengambil kira aspek keselamatan semasa operasi.

Peserta-peserta bengkel juga diberikan penerangan dan latihan amali, serta mengadakan lawatan ke tempat-tempat yang dikenal pasti terdapat buaya liar berkeliaran.

Dalam lawatan tersebut, peserta-peserta diberikan tunjuk ajar mengenai tatacara menangkap dan penggunaan serta pemasangan umpan yang lebih efektif dan berkesan.